Shazryl Eskay Abdullah
Eskay, 51, dari Naka, Kedah, adalah seorang ahli fisioterapi yang pernah bekerja di Amerika Syarikat dan berkhidmat dengan sebuah pasukan di liga football negara itu dan juga pasukan kebangsaan mereka.
Sekembalinya ke tanah air, beliau berkhidmat dengan Persatuan Badminton Malaysia dan kini adalah seorang pengarah Aman Agropreneurs Sdn Bhd.
Pada 2005, beliau dilantik oleh Raja Thai sebagi konsul kehormat negara itu ke Malaysia di Langkawi bagi mewakili kepentingan rakyat Thai dan menjaga hubungan baik kedua-dua negara.
Sepanjang tahun 2006 hingga 2007, Eskay dan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai orang tengah bagi menyelesaikan konflik di selatan Thai yang dikenali sebagai Rundingan Damai Langkawi.
Sepanjang tempoh 2008 hingga 2011, beliau dilantik sebagai pengerusi kehormat konsular kor di Malaysia.
Namun, ahli perniagaan itu yang juga pernah merawat sakit tulang belakang Anwar, mencuri tumpuan awal bulan ini berikutan saman RM20 jutanya ke atas Merong Mahawangsa Sdn Bhd dan pengarahnya, Datuk Yahya A Jalil.
Fokus ke atas Eskay semakin menyerlah minggu ini, apabila beliau mengakui sebagai sebahagian daripada anggota kumpulan Datuk T bersama bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim yang berperanan dalam pendedahan video lucah itu.
Rahim Tamby Chik
Rahim adalah bekas ketua menteri Melaka dan pernah dilantik sebagai ketua pemuda Umno. Beliau pernah diberi pujian kerana dikatakan berjaya membangunkan Melaka daripada terus dibuai mimpi sebagai sebuah negeri mundur.
Beliau juga bertanggungjawab memindahkan pentadbiran negeri daripada kota Melaka ke Ayer Keroh.
Semua ini, sebelum beliau bersara daripada semua jawatan politikberikutan dakwaan terbabit merogol seorang gadis sekolah di bawah umur. Rahim telah menafikan pertuduhan itu dan mendakwa Anwar adalah dalang di sebaliknya.
Anwar bagaimanpun menafikan terbabit dengan pemecatan Rahim.
Beliau juga adalah dalam kumpulan Wawasan yang bersama Anwar, Najib Razak dan Muhyiddin Yassin yang menamatkan kerjaya politik timbalan perdana menteri ketika itu, Tun Ghafar Baba.
Shuib Lazim
Sebelum dilantik sebagai bendahari PERKASA, Shuib adalah seorang senator dan ahli parlimen Sungai Petani. Beliau berasal dari Sungai Petani dan adalah juga bapa saudara kepada MP Sungai Petani ketika ini, Johari Abdul.
Beliau juga adalah bapa mertua kepada naib presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal.
Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali pernah dilaporkan berkata Shuib telah memaklumkan kepadanya hasrat beliau ingin berundur sebagai bendahari.
Meskipun didakwa sebagai anggota ketiga kumpulan Datuk T, Johari mempertahankan bapa saudaranya dan berkata beliau tidak percaya yang Anwar adalah lelaki dalam video seks itu.
1. Kelihatan UMNO dan BN 'all out' menggunakan isu PAS alat DAP, PAS kuda tunggangan DAP, PAS boneka DAP, PAS menggadai prinsip perjuangan dan 1001 tohmahan dilemparkan kepada PAS dan disogok kepada rakyat khasnya orang - orang melayu untukmenanam rasa benci dan curiga yang mendalam terhadap PAS.
2. UMNO dan BN melengkapkan adu dombanya untuk masyarakat melayu menolak perjuangan PAS secara konsisten dengan "sepanduk" mereka bahawa "PAS berkawan dengan kafir DAP tetapi lawan melayu UMNO". Secara sentimennya, sebahagian masyarakat melayu yang hanya terdedah kepada maklumat sebelah pihak akan terpengaruh dengan dakyah ini.
3. Saya tidak menafikan kemungkinan sebahagian pengundi menolak untuk memberi sokongan kepada PAS atas faktor ini, namun ia bukanlah faktor besar dan sebenar justeru unjuran undi sokong yang diperolehi oleh PAS tidak menunjukkan aras menjunam sebaliknya menurun dengan peratus yang kecil sementelah pula ia diukur nilai dalam saingan pilihanraya kecil.
4. Saya sangat optimis, kiranya PAS diberi laluan serta kemudahan untuk akses dengan media elektronik dan cetak arus perdana bagi menjelaskan segala kekeliruan yang tersimpul, PAS mampu memberi saingan sengit secara sihat kepada UMNO dan BN lalu memenangi pilihanraya secara gentleman. Malang demokrasi negara kita diurus secara pincang oleh UMNO dan BN selaku pemerintah, lalu memaksa kita bersaing tanpa peluang yang seimbang.
5. Insyaallah, jika UMNO dan BN masih gagal membuka peluang untuk PAS dan rakan - rakan Pakatan Rakyat akses dengan media elektronik dan cetak arus perdana menjelang 1 Mei akan datang, Himpunan 500K BERSIH 2 akan menjadi kenyataan pada bulan june akan datang.
6. Menjawab persoalan kenapa PAS sedia berhubung, berkawan dan bekerjasama dengan DAP, saya mulakan dengan mengajak seluruh rakyat khasnya ummat Islam untuk mengkaji kebijakan Baginda Rasul saw bertindak melalui seerah perjuangan Baginda demi menyelamatkan ummah sekaligus menyalakan obor menerangi kegelapan jahiliyyah. Baginda Rasul saw telah bertindak sebagai Rahmatan Lil A'lamin [ rahmat - naungan kasih buat seluruh alam ].
7. Antara tindakan bestari Baginda Rasul saw ialah Baginda telah mengadakan kerjasama sosial dan politik dengan golongan non muslim pada waktu itu untuk tujuan mempertahankan hak dan menentang kezaliman:
شهدت حلف المطيبين و ما أحب أن أنكثه و أن لي حمر النعم
Aku telah menyaksikan berlakunya perjanjian ( tahaaluf ) al Mutayyibin dan aku tidak ingin memungkirinya walaupun diberi kepada aku unta berwarna merah yang terbaik sekali .
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad. al Musnad Jil 1. hlm 190 - 193
Perjanjian atau kerjasama [ tahaaluf ] ini wujud apabila timbul persengketaan dikalangan kabilah dalam merebut kuasa pengawasan Kaabah, hak penyediaan makanan dan ketenteraan serta pengurusan air zam - zam . Lalu mereka berkumpul dan mengadakan perjanjian atau kerjasama [ tahaaluf ] untuk tidak merampas hak masing - masing .
Sabda rasulullah saw : Aku telah menyaksikan di Rumah Abdullah bin Jud'an , adanya satu perjanjian atau kerjasama [Fudhul] yang aku tidak akan membatalkannya sekalipun aku diberikan seekor Unta Merah . Dan sekiranya perjanjian atau kerjasama itu diajak semula pada masa Islam , maka aku akan menyetujuinya .
Diriwayatkan oleh Ibn Ishak dari Muhammad bin Zaid bin Muhajir. Hadis ini bertaraf Mursal namun tidak terjejas kerana tadlis Ibn Ishaq . Ibnu Ishaq tidak melakukan kecurangan ( tadlis ) disini melainkan beliau telah menyebutkan sanadnya.
Al Imam Suhaili menyebut bahawa Hilful Fudhul adalah sebaik - baik perjanjian atau kerjasama yang pernah di dengar dan perjanjian yang paling mulia dikalangan bangsa Arab . Ianya tercetus apabila berlaku penindasan yang dilakukan oleh al- Ashi bin Wai'l , seorang yang kaya raya dan ternama di Kota Makkah membeli barang dagang seorang badwi tetapi enggan membayarnya .
8. Kedua, suka saya tarik perhatian semua kepada satu analogi :
Saya tinggal di kawasan taman perumahan. Suatu malam rumah saya dinaiki pencuri [ waliyazubillah - sbg contoh ]. Sejurus saya sedar, saya dapati wang saya hilang sebanyak RM 134.000. Pencurinya hanya seorang perempuan tapi lariannya agak licik dan pantas, lalu saya berteriak : Tolong ! Tolong ! perempuan itu curi wang saya ! Tiba - tiba jiran - jiran saya yang terdiri orang India beragama hindu namanya Balendran [sekadar contoh ] dan juga orang cina beragama kristian namanya Vincent [ sekadar contoh ], malah ramai lagi jiran saya turut keluar dan mereka terdiri dari pelbaga bangsa dan agama yang tidak serupa dengan saya.
Hasrat mereka mahu membantu saya untuk mengejar dan menangkap pencuri itu. Rupa - rupanya bulan lepas rumah mereka juga dinaiki pencuri yang sama. Ada yang lesap RM 100.000 satu malam begitulah juga yang lain dengan jumlah yang tidak sedikit. Mereka sama - sama nekad mahu menangkap pencuri itu. Mereka berkumpul dihadapan rumah saya di Jalan Raja Laut [ sekadar contoh ], lalu mereka melafaz ikrar untuk bekerjasama bagi mengejar dan menangkap pencuri tersebut demi memelihara keamanan dan kesejahteraan Taman perumahan kami.
Kendati pun saya seorang muslim dan mereka yang menghulur tangan untuk bekerjasama menangkap pencuri licik itu pula terdiri kalangan non muslim, Islam membenarkan saya memeteri perjanjian kerjasama untuk menangkap pencuri profesional itu. Bodohlah saya yang baru kehilangan RM 134.000 dek kerana pencuri perempuan itu, tiba - tiba saya menolak kerjasama yang dihulurkan oleh non muslim yang juga mahu menangkap pencuri yang sama, semata - mata kerana mereka berbangsa cina, india dan pula tidak Islam. Saya tidak akan belajar sampai ke Mesir untuk jadi sebodoh itu.
9. Kenapa UMNO dan BN marah sangat PAS bekerjasama dengan DAP ? bagaimana pula dengan UMNO sendiri yang berselimut toto dengan MCA dan MIC ? Bukankah MCA itu juga Cina dan MIC itu India ? atau ada yang lebih cina dari MCA dan terlebih India dari MIC ? Perangai UMNO ini tidak ubah sebagaimana kata pepatah arab :
ضربني و بكى شتمني واشتكى
Dia pukul aku dia yang menangis , dia fitnah aku dia yang mengadu .
Begitu juga orang tua - tua pernah bisik pada saya, UMNO ni macam paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Tapi lain pula kata orang muda pada saya mengenai UMNO ini. Kata mereka , paku sana paku sini, serpihnya balik atas dia juga.
10. Siapa sebenarnya menjadi alat dan boneka ? bukankah UMNO menjadi alat dan kuda tunggangan dalam Barisan Nasinal ? :
rasa macam nak sambung siri penjelasan ini.... tengoklah macam mana ...
Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Judi Tidak Membawa Kebaikan Kepada Rakyat dan Negara
1. Negara yang baik, selamat dan bertamaddun ialah sebuah negara yang mempunyai modal insan yang berkualiti sebagai sumber manusia yang akan menjana pertumbuhan ekonomi cerdas serta berkat dan membina iklim sosial yang aman serta tenteram malah sumber manusia berkualiti ini akan membina kestabilan politik serta pentadbiran negara.
2. Namun judi akan merosakkan segalanya. Bukan sahaja ia diharamkan oleh Islam malah ia turut ditolak oleh semua agama justeru judi adalah antara kemungkaran tertua di dunia yang menjadi penghalang utama di sepanjang zaman untuk melahirkan generasi yang sihat minda dan cerdas aqal lalu berkeupayaan tinggi untuk mandiri sekaligus menjadi agent utama membangunkan negara.
3. Judi hanya mengheret pelakunya bergantung pada nasib tanpa rasional dan membunuh nilai usaha ikhtiar yang sepatutnya membangunkan semangat berdikari dalam diri manusia.Akhirnya mereka hanya mempertaruhkan wang ringgit dengan membina istana impian tanpa gigih berusaha. Tambah malang, impian itu tidak pernah kesampaian sehingga ia mati dalam angan - angan yang tidak tergapai dek tangan.
4. Sukar untuk mencari penagih judi yang kaya kecuali segelintir yang sangat terpencil. Kerana mungkin mereka menang besar pada pertaruhan pertama namun ia boleh kalah pula pada pertaruhan kedua lantaran itulah resmi sebuah perjudian. Begitulah judi mempermainkan penagih judi. Kebanyakan yang menimbun kekayaan ialah taukeh judi yang mengambil kesempatan diatas kelekaan penagih judi ini.
5. Sang penagih judi yang kehabisan wang tidak akan berhenti diam begitu sahaja. Sama seperti penagih dadah yang sukar menghentikan ketagihannya lalu terpaksa mencari wang dengan meragut, mencuri, merompak malah membunuh jika hasratnya terhalang. Ekoran jenayah tersebut, hasil pula dendam, kebencian, permusuhan sesama manusia malah keruntuhan rumahtangga. Lalu apa untungnya judi pada pembangunan tamadun manusia dan negara ?
Benarlah apa yang difirmankan oleh Allah sw : [ dari surah al Maaidah ayat : 90 ]
Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) terdiri dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
Dan Taatlah kamu kepada Allah serta Taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa Yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, Bahawa Sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) Dengan jelas nyata.
6. Berapa banyak kes jenayah yang bertelur dari pusat perjudian. Perkara ini tidak boleh dinafikan dan jangan sesiapa yang cuba untuk menafikan. Jerih ahli politik, akademik dan aktivis sosial berseminar mencari formula mengatasi peningkatan indek jenayah sedang pusat penetasan jenayah ini [ industri perjudian ] tidak dipandang serius dan berusaha untuk membenterasnya.
7. Alhamdulillah, Kelantan sejak 20 tahun yang lalu secara rasminya menerusi kuasa pentadbiran yang dimiliki telah menyekat industri judi daripada berleluasa di negeri itu. Menyedari berlakunya penyusutan dana kewangan negeri ekoran tindakan itu, namun yakin betapa judi membawa kerosakan jangka pendek dan jangka panjang kepada rakyat malah negeri, Kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin oleh YAB Dato' Bentara Setia Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat nekad mengambil langkah menghalang dan menyekat judi di Kelantan.
8. Sehingga kini,[ setelah 20 tahun ] Kelantan masih mampu bertahan walaupun tanpa judi. Bahkan jenayah serta kesan sosial yang berpunca dari judi dapat dikurangkan. Bermula dari sini, saya mencadangkan agar judi ini dihapuskan di seluruh negara. Berikan komitmen ke arah itu. Usaha terancang mesti dilakukan biarpun langkah beransur - ansur tetapi tidak menyuburkan judi di negara ini. Penyusutan perbendaharaan hasil negara kelak ekoran penghapusan judi boleh ditangani melalui usaha jimat cermat, elak pembaziran, , elak projek mega yang tidak bermanafaatelak penyelewengan, rasuah dan lainnya.
9. Pakatan Rakyat sewajarnya menjadi contoh kepada semua dalam usaha menempatkan diri sebagai alternatif. Justeru itu saya mencadangkan agar Pakatan Rakyat juga memberi komitmen untuk menghapuskan judi di negeri - negeri yang telah dikuasai. Tidak perlu gopoh dan tidak perlu tergesa - gesa. Apa yang saya tegaskan ialah perlu ada komitmen ke arah itu dan ia boleh dilakukan secara beransur - ansur seperti menyemarakkan pendidikan terancang kepada rakyat mengenai bencana judi dan tidak lagi menambah premis judi buat masa ini.
10. Saya melihat Pakatan Rakyat perlu menjadi contoh yang baik kepada rakyat dan negara sebagai bakal peneraju tampuk pemerintahan akan datang. Tiada ertinya melakukan perkara serupa seperti apa yang kekal dalam pemerintahan Barisan Nasional sedang kita sedar akan keburukan perkara itu seperti judi. Jika kita mahu mengekalkan mungkar yang dilakukan oleh Barisan Nasional maka tiada ertilah kita menentang mereka. Lebih baik kita sokong sahaja mereka. Bukan kah kita menetang mereka kerana kita mahu menawarkan suatu yang lebih baik dari mereka ?
Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Artikel saya di Harakahdaily dan beberapa laman web serta blog termasuk Buletin Online dan Cina Islam bertajuk‘Serang Libya Cetus Banyak Persoalan’ mengundang banyak komen dan respon. Ada yang memahami dengan baik maksud yang ingin saya utarakan tetapi ada yang agak melulu menghentam kononnya saya menyokong Gaddafi untuk melakukan pembunuhan terhadap rakyatnya sendiri! Nauuzubillah...
Menguatkan lagi hujah mereka, dikemukakan kepada saya data-data yang memang telah saya sedia ketahui tentang bilangan rakyat awam yang menjadi mangsa keganasan regim Gaddafi. Terima kasih atas segala maklumat tambahan.
Dengan menghargai segala komen yang diberikan terutamanya yang bersifat kontra dan negatif, sukacita saya menjelaskan tiada sekelumit pun dari maksud artikel berkenaan bermaksud untuk menyokong regim Gaddafi samada secara langsung atau tersembunyi. Tiada keraguan lagi Gaddafi wajib pergi. Malah As Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi telah mengeluarkan fatwa kepada mana-mana tentera yang berpeluang untuk melepaskan tembakan ke arah Gaddafi, mereka perlu melakukannya.
Kekejaman Gaddafi sepanjang 42 tahun pemerintahan memerlukan helaian panjang untuk disenaraikan terutamanya jenayah berkaitan hak asasi manusia, penderaan kepada para penentang, pembunuhan oposisi, tahanan tanpa bicara, penggelapan kekayaan hasil minyak negara, penafian hak bersuara dan pelbagai lagi. Ramai pemimpin penentang yang hilang begitu sahaja tanpa dikesan. ‘Freedom of Press index’ pernah menamakan Libya sebagai negara paling tertutup di rantau Timur Tengah dan Utara Afrika.
Apa yang menjadi persoalan pokok, setelah hampir seluruh dunia sepakati bahawa Gaddafi wajib pergi, dan rakyat sendiri telah bangun atas nama jihad untuk memerangi regim Gaddafi serta kekuasaan Gaddafi sendiri seolah-olah bagai telur dihujung tanduk dengan bandar demi bandar jatuh ke tangan pejuang (saya sama sekali tidak bersetuju dengan istilah pemberontak), tiba-tiba kuasa barat dengan diketuai AS disertai Francis, Britain dan beberapa negara lain berlagak wira dengan lesen kononnya melaksanakan resolusi PBB bagi menguatkuasakan zon larangan terbang ke atas Libya, mereka menghalalkan tindakan menghujani bumi Libya dengan ratusan ‘Tomahawk’.
Walaupun mereka mengatakan yang menjadi tumpuan serangan adalah sasaran-sasaran ketenteraan tetapi dengan tegas saya katakan: “Ini satu pembohongan!”
Istilah sasaran ketenteraan ini agak sinonim sepanjang 6 tahun saya menetap di Iraq ketika era pasca perang teluk dari 1993-1999. Dengan alasan untuk menguatkuasakan sekatan ekonomi PBB dan zon larangan terbang ke atas Iraq, bukan sedikit serangan udara yang dilancarkan sepanjang tempoh itu samada melalui pengkalannya di Arab Saudi, Bahrain, Kuwait atau Turki serta kapal perangnya di rantau Teluk Parsi. Targetnya, sasaran ketenteraan Saddam!
Tanpa menafikan kecanggihan teknologi yang mereka miliki dalam masa yang sama kita tidak melupakan permusuhan sepanjang zaman dunia kristian terhadap dunia Islam, agak mustahil serangan yang dilancarkan dari jarak hampir beribu kilometer mampu tepat ke sasaran tanpa tersasar ke penempatan awam. Dengan mata saya sendiri, saya menyaksikan semua kekajaman ini dan dengan dua tangan ini, dalam keadaan serba kekurangan, saya pernah merawat beberapa penduduk awam yang tercedera parah ekoran serangan AS ketika menjalani latihan praktikal tahun akhir di Saddam Medical City, Baghdad. Mangsa terbunuh dan tercedera dalam serangan yang kononya disasarkan ke sasaran ketenteraan. Siapa penjenayahnya? Ketika itu George W. Bush.
Apatah lagi kalau kita mengaitkan serangan ini kebencian dunia barat dan kristian terhadap dunia Islam dan Ummat Islam. Musuh dunia kristian bukan hanya setakat tentera malah seluruh ummat Islam kecuali mereka yang sedia masuk ke lubang biawak bersama mereka. Untuk rekod, Saddam dan Gaddafi adalah penganut ideologi sosialis, ajaran yang memusuhi Islam.
Kalau boleh kita istilahkan, Saddam dan Gaddafi adalah perompak, bolehkah diundang penyamun (AS dan sekutunya) untuk menghalau perompak? Apakah ada penyamun berhati mulia yang akan berlalu begitu sahaja setelah perompak dikalahkan? Tentunya penyamun adalah gerombolan yang lebih ganas dan sadis, menjarah tanpa belas kasihan, merampas dan membunuh tanpa perikemanusian.
Lihatlah apa yang berlaku di Iraq sekarang. Amankah Iraq setelah regim Saddam menjadi sejarah? Teringat kata-kata seorang pensyarah saya di Universiti Baghdad dahulu. “Adanya Saddam adalah bala bagi rakyat Iraq, tetapi perginya Saddam dan hadirnya AS akan menjadi bala yang lebih besar.” Saya tidak begitu memahami ungkapan ini sehinggalah selepas penjajahan AS di bumi Iraq tahun 2003 lalu sehingga sekarang masih rakus tanpa pernah kenyang mengaut kekayaan bumi Ummat Islam.
Berbalik kepada krisis di bumi Libya, sekali lagi kita senada, Gaddafi wajib pergi tapi bukan dengan camputangan barat yang hadir dengan telunjuk lurus kelingking berkait. Liga Arab yang mewakili 23 negara Arab Islam dan OIC mesti membuktikan kredibiliti dan keupayaan mereka menyelesaikan masalah ummat dan serantau. Ummat Islam di Libya wajib diselamatkan tanpa sebarang kompromi dan dolak dalih. Cubaan penjajahan era moden oleh kuasa barat mesti ditentang sehebatnya.
Liga Arab yang sebelum ini menyokong pembentukan Zon Larangan Terbang di Libya kini dilihat mula berubah nada setelah menyaksikan kemusnahan hebat ekoran serangan AS dan sekutunnya ini. Imej mayat-mayat orang awam yang terbakar bukan sahaja menyebabkan Liga Arab berubah fikiran malah turut menyebabkan Cina dan Rusia menyuarakan kekesalan terhadap keganasan AS dan sekutunya. Selain Cina dan Rusia, Presiden Venezuela, Hugo Chavez juga keras menyuarakan bantahan. Tapi di mana suara keras pemimpin Negara Islam? Kalau alasan serangan adalah untuk menghalang pembunuhan rakyat awam oleh regim Gaddafi, bagaimana pula dengan rakyat awam yang terkorban angkara Tomahawk? Apakah dengan resolusi PBB, pembunuhan tidak dianggap jenayah?