












1. Kelihatan UMNO dan BN 'all out' menggunakan isu PAS alat DAP, PAS kuda tunggangan DAP, PAS boneka DAP, PAS menggadai prinsip perjuangan dan 1001 tohmahan dilemparkan kepada PAS dan disogok kepada rakyat khasnya orang - orang melayu untukmenanam rasa benci dan curiga yang mendalam terhadap PAS.
2. UMNO dan BN melengkapkan adu dombanya untuk masyarakat melayu menolak perjuangan PAS secara konsisten dengan "sepanduk" mereka bahawa "PAS berkawan dengan kafir DAP tetapi lawan melayu UMNO". Secara sentimennya, sebahagian masyarakat melayu yang hanya terdedah kepada maklumat sebelah pihak akan terpengaruh dengan dakyah ini.
3. Saya tidak menafikan kemungkinan sebahagian pengundi menolak untuk memberi sokongan kepada PAS atas faktor ini, namun ia bukanlah faktor besar dan sebenar justeru unjuran undi sokong yang diperolehi oleh PAS tidak menunjukkan aras menjunam sebaliknya menurun dengan peratus yang kecil sementelah pula ia diukur nilai dalam saingan pilihanraya kecil.
4. Saya sangat optimis, kiranya PAS diberi laluan serta kemudahan untuk akses dengan media elektronik dan cetak arus perdana bagi menjelaskan segala kekeliruan yang tersimpul, PAS mampu memberi saingan sengit secara sihat kepada UMNO dan BN lalu memenangi pilihanraya secara gentleman. Malang demokrasi negara kita diurus secara pincang oleh UMNO dan BN selaku pemerintah, lalu memaksa kita bersaing tanpa peluang yang seimbang.
5. Insyaallah, jika UMNO dan BN masih gagal membuka peluang untuk PAS dan rakan - rakan Pakatan Rakyat akses dengan media elektronik dan cetak arus perdana menjelang 1 Mei akan datang, Himpunan 500K BERSIH 2 akan menjadi kenyataan pada bulan june akan datang.
6. Menjawab persoalan kenapa PAS sedia berhubung, berkawan dan bekerjasama dengan DAP, saya mulakan dengan mengajak seluruh rakyat khasnya ummat Islam untuk mengkaji kebijakan Baginda Rasul saw bertindak melalui seerah perjuangan Baginda demi menyelamatkan ummah sekaligus menyalakan obor menerangi kegelapan jahiliyyah. Baginda Rasul saw telah bertindak sebagai Rahmatan Lil A'lamin [ rahmat - naungan kasih buat seluruh alam ].
7. Antara tindakan bestari Baginda Rasul saw ialah Baginda telah mengadakan kerjasama sosial dan politik dengan golongan non muslim pada waktu itu untuk tujuan mempertahankan hak dan menentang kezaliman:
شهدت حلف المطيبين و ما أحب أن أنكثه و أن لي حمر النعم
Aku telah menyaksikan berlakunya perjanjian ( tahaaluf ) al Mutayyibin dan aku tidak ingin memungkirinya walaupun diberi kepada aku unta berwarna merah yang terbaik sekali .
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad. al Musnad Jil 1. hlm 190 - 193
Perjanjian atau kerjasama [ tahaaluf ] ini wujud apabila timbul persengketaan dikalangan kabilah dalam merebut kuasa pengawasan Kaabah, hak penyediaan makanan dan ketenteraan serta pengurusan air zam - zam . Lalu mereka berkumpul dan mengadakan perjanjian atau kerjasama [ tahaaluf ] untuk tidak merampas hak masing - masing .
Sabda rasulullah saw : Aku telah menyaksikan di Rumah Abdullah bin Jud'an , adanya satu perjanjian atau kerjasama [Fudhul] yang aku tidak akan membatalkannya sekalipun aku diberikan seekor Unta Merah . Dan sekiranya perjanjian atau kerjasama itu diajak semula pada masa Islam , maka aku akan menyetujuinya .
Diriwayatkan oleh Ibn Ishak dari Muhammad bin Zaid bin Muhajir. Hadis ini bertaraf Mursal namun tidak terjejas kerana tadlis Ibn Ishaq . Ibnu Ishaq tidak melakukan kecurangan ( tadlis ) disini melainkan beliau telah menyebutkan sanadnya.
Al Imam Suhaili menyebut bahawa Hilful Fudhul adalah sebaik - baik perjanjian atau kerjasama yang pernah di dengar dan perjanjian yang paling mulia dikalangan bangsa Arab . Ianya tercetus apabila berlaku penindasan yang dilakukan oleh al- Ashi bin Wai'l , seorang yang kaya raya dan ternama di Kota Makkah membeli barang dagang seorang badwi tetapi enggan membayarnya .
8. Kedua, suka saya tarik perhatian semua kepada satu analogi :
Saya tinggal di kawasan taman perumahan. Suatu malam rumah saya dinaiki pencuri [ waliyazubillah - sbg contoh ]. Sejurus saya sedar, saya dapati wang saya hilang sebanyak RM 134.000. Pencurinya hanya seorang perempuan tapi lariannya agak licik dan pantas, lalu saya berteriak : Tolong ! Tolong ! perempuan itu curi wang saya ! Tiba - tiba jiran - jiran saya yang terdiri orang India beragama hindu namanya Balendran [sekadar contoh ] dan juga orang cina beragama kristian namanya Vincent [ sekadar contoh ], malah ramai lagi jiran saya turut keluar dan mereka terdiri dari pelbaga bangsa dan agama yang tidak serupa dengan saya.
Hasrat mereka mahu membantu saya untuk mengejar dan menangkap pencuri itu. Rupa - rupanya bulan lepas rumah mereka juga dinaiki pencuri yang sama. Ada yang lesap RM 100.000 satu malam begitulah juga yang lain dengan jumlah yang tidak sedikit. Mereka sama - sama nekad mahu menangkap pencuri itu. Mereka berkumpul dihadapan rumah saya di Jalan Raja Laut [ sekadar contoh ], lalu mereka melafaz ikrar untuk bekerjasama bagi mengejar dan menangkap pencuri tersebut demi memelihara keamanan dan kesejahteraan Taman perumahan kami.
Kendati pun saya seorang muslim dan mereka yang menghulur tangan untuk bekerjasama menangkap pencuri licik itu pula terdiri kalangan non muslim, Islam membenarkan saya memeteri perjanjian kerjasama untuk menangkap pencuri profesional itu. Bodohlah saya yang baru kehilangan RM 134.000 dek kerana pencuri perempuan itu, tiba - tiba saya menolak kerjasama yang dihulurkan oleh non muslim yang juga mahu menangkap pencuri yang sama, semata - mata kerana mereka berbangsa cina, india dan pula tidak Islam. Saya tidak akan belajar sampai ke Mesir untuk jadi sebodoh itu.
9. Kenapa UMNO dan BN marah sangat PAS bekerjasama dengan DAP ? bagaimana pula dengan UMNO sendiri yang berselimut toto dengan MCA dan MIC ? Bukankah MCA itu juga Cina dan MIC itu India ? atau ada yang lebih cina dari MCA dan terlebih India dari MIC ? Perangai UMNO ini tidak ubah sebagaimana kata pepatah arab :
ضربني و بكى شتمني واشتكى
Dia pukul aku dia yang menangis , dia fitnah aku dia yang mengadu .
Begitu juga orang tua - tua pernah bisik pada saya, UMNO ni macam paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Tapi lain pula kata orang muda pada saya mengenai UMNO ini. Kata mereka , paku sana paku sini, serpihnya balik atas dia juga.
10. Siapa sebenarnya menjadi alat dan boneka ? bukankah UMNO menjadi alat dan kuda tunggangan dalam Barisan Nasinal ? :
rasa macam nak sambung siri penjelasan ini.... tengoklah macam mana ...
Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Judi Tidak Membawa Kebaikan Kepada Rakyat dan Negara
1. Negara yang baik, selamat dan bertamaddun ialah sebuah negara yang mempunyai modal insan yang berkualiti sebagai sumber manusia yang akan menjana pertumbuhan ekonomi cerdas serta berkat dan membina iklim sosial yang aman serta tenteram malah sumber manusia berkualiti ini akan membina kestabilan politik serta pentadbiran negara.
2. Namun judi akan merosakkan segalanya. Bukan sahaja ia diharamkan oleh Islam malah ia turut ditolak oleh semua agama justeru judi adalah antara kemungkaran tertua di dunia yang menjadi penghalang utama di sepanjang zaman untuk melahirkan generasi yang sihat minda dan cerdas aqal lalu berkeupayaan tinggi untuk mandiri sekaligus menjadi agent utama membangunkan negara.
3. Judi hanya mengheret pelakunya bergantung pada nasib tanpa rasional dan membunuh nilai usaha ikhtiar yang sepatutnya membangunkan semangat berdikari dalam diri manusia.Akhirnya mereka hanya mempertaruhkan wang ringgit dengan membina istana impian tanpa gigih berusaha. Tambah malang, impian itu tidak pernah kesampaian sehingga ia mati dalam angan - angan yang tidak tergapai dek tangan.
4. Sukar untuk mencari penagih judi yang kaya kecuali segelintir yang sangat terpencil. Kerana mungkin mereka menang besar pada pertaruhan pertama namun ia boleh kalah pula pada pertaruhan kedua lantaran itulah resmi sebuah perjudian. Begitulah judi mempermainkan penagih judi. Kebanyakan yang menimbun kekayaan ialah taukeh judi yang mengambil kesempatan diatas kelekaan penagih judi ini.
5. Sang penagih judi yang kehabisan wang tidak akan berhenti diam begitu sahaja. Sama seperti penagih dadah yang sukar menghentikan ketagihannya lalu terpaksa mencari wang dengan meragut, mencuri, merompak malah membunuh jika hasratnya terhalang. Ekoran jenayah tersebut, hasil pula dendam, kebencian, permusuhan sesama manusia malah keruntuhan rumahtangga. Lalu apa untungnya judi pada pembangunan tamadun manusia dan negara ?
Benarlah apa yang difirmankan oleh Allah sw : [ dari surah al Maaidah ayat : 90 ]
Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) terdiri dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
Dan Taatlah kamu kepada Allah serta Taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa Yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, Bahawa Sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) Dengan jelas nyata.
6. Berapa banyak kes jenayah yang bertelur dari pusat perjudian. Perkara ini tidak boleh dinafikan dan jangan sesiapa yang cuba untuk menafikan. Jerih ahli politik, akademik dan aktivis sosial berseminar mencari formula mengatasi peningkatan indek jenayah sedang pusat penetasan jenayah ini [ industri perjudian ] tidak dipandang serius dan berusaha untuk membenterasnya.
7. Alhamdulillah, Kelantan sejak 20 tahun yang lalu secara rasminya menerusi kuasa pentadbiran yang dimiliki telah menyekat industri judi daripada berleluasa di negeri itu. Menyedari berlakunya penyusutan dana kewangan negeri ekoran tindakan itu, namun yakin betapa judi membawa kerosakan jangka pendek dan jangka panjang kepada rakyat malah negeri, Kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin oleh YAB Dato' Bentara Setia Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat nekad mengambil langkah menghalang dan menyekat judi di Kelantan.
8. Sehingga kini,[ setelah 20 tahun ] Kelantan masih mampu bertahan walaupun tanpa judi. Bahkan jenayah serta kesan sosial yang berpunca dari judi dapat dikurangkan. Bermula dari sini, saya mencadangkan agar judi ini dihapuskan di seluruh negara. Berikan komitmen ke arah itu. Usaha terancang mesti dilakukan biarpun langkah beransur - ansur tetapi tidak menyuburkan judi di negara ini. Penyusutan perbendaharaan hasil negara kelak ekoran penghapusan judi boleh ditangani melalui usaha jimat cermat, elak pembaziran, , elak projek mega yang tidak bermanafaatelak penyelewengan, rasuah dan lainnya.
9. Pakatan Rakyat sewajarnya menjadi contoh kepada semua dalam usaha menempatkan diri sebagai alternatif. Justeru itu saya mencadangkan agar Pakatan Rakyat juga memberi komitmen untuk menghapuskan judi di negeri - negeri yang telah dikuasai. Tidak perlu gopoh dan tidak perlu tergesa - gesa. Apa yang saya tegaskan ialah perlu ada komitmen ke arah itu dan ia boleh dilakukan secara beransur - ansur seperti menyemarakkan pendidikan terancang kepada rakyat mengenai bencana judi dan tidak lagi menambah premis judi buat masa ini.
10. Saya melihat Pakatan Rakyat perlu menjadi contoh yang baik kepada rakyat dan negara sebagai bakal peneraju tampuk pemerintahan akan datang. Tiada ertinya melakukan perkara serupa seperti apa yang kekal dalam pemerintahan Barisan Nasional sedang kita sedar akan keburukan perkara itu seperti judi. Jika kita mahu mengekalkan mungkar yang dilakukan oleh Barisan Nasional maka tiada ertilah kita menentang mereka. Lebih baik kita sokong sahaja mereka. Bukan kah kita menetang mereka kerana kita mahu menawarkan suatu yang lebih baik dari mereka ?
Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Penghujung bulan Syawal ini atau 1 sehingga 3 Oktober akan berlangsung program terbesar Dewan Pemuda PAS Pusat iaitu Ijtimak tarbawi 2010. Program ini merupakan kesinambungan program besar Dewan Pemuda PAS iaitu Ijtimak ‘Alami yang pernah diadakan pada tahun 1989 dan 1994 di tempat yang sama iaitu Masjid Rusila Terengganu. Program himpunan tarbiah ini akan menghimpunkan tokoh-tokoh tarbiah PAS seperti Tuan Guru Mursyidul Am, Tuan Guru Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua Dewan Ulama, Murabbi tarbiah , termasuk tokoh undangan daripada gerakan fenomenal dunia iaitu Ikhwanul Muslimin.
Ahli-ahli PAS seluruh negara dijemput hadir, tidak terhad kepada jaringan pemuda tetapi program ini mengundang juga muslimat, Nisa, warga kampus, veteran parti, pelajar-pelajar sekolah dan seluruh penyokong dan pendokong perjuangan Islam. Saya bagi pihak jawatankuasa Panitia program Ijtimak menyeru ahli-ahli PAS untuk hadir beramai-ramai beserta dengan kaum keluarga, bekalkan dengan tikar, bantal, bekalan musafir yang secukupnya.
Pantai Rusila yang terhampar putih bersih akan menjadi ‘hotel’ yang akan menampung ribuan peserta ijtimak melepaskan lelah bersimpuh di masjid . Kaum muslimin akan berkhemah di hamparan pantai yang luas memanjang manakala muslimat akan ditempatkan di bangunan PASTI Rusila. Gerai-gerai jualan yang pelbagai akan menyempurnakan himpunan ini, termasuk gerai pameran yang akan diuruskan oleh Dewan Pemuda PAS Terengganu.
Ijtimak Tarbawi 2010 Dewan pemuda PAS akan berlangsung dengan suasana santai namun sarat dengan mutiara ilmu yang akan disampaikan oleh pembentang kertas kerja, pengkuliah , juga panelis forum yang terdiri daripada kalangan pimpinan PAS Pusat. Dengan ribuan peserta yang hadir memenuhi dalam dan luar masjid,program ini dijangka memberikan kesan yang mendalam untuk memerkasakan kembali program tajnid dan merimbunkan kembali program amal tarbawi di dalam gerakan Islam tertua dan terbesar di negara ini.
NOSTALGIA PROGRAM TARBIAH
Ijtimak ini bukan sekadar medan untuk berhimpun dan berukhuwwah ,namun ada sesuatu yang membekas dalam palong hati saya, iaitu Ijtimak Tarbawi 2010 Pemuda akan menerima kehadiran tokoh murabbi PAS yang sangat tidak asing dengan program pembinaan kader pemuda PAS, iaitu al fadhil Ustaz Yahya Othman. Siapa tidak kenal dengan tiang seri tarbiah ini yang mendapat pendidikan di Timur Tengah dan diasuh oleh Ikhwanul Muslimin. Kertas kerja tarbiah ustaz Yahya Othman sering kita lumati dalam program tarbiah, bahkan dada kita turut terisi dengan penyampaian beliau yang tegas. Beliau adalah anak didik kepada Sheikh Kamal Saniri, tokoh Ikhwan yang telah mengalami pemenjaraan dan akhirnya mati syahid akibat disiksa oleh regim Mesir.
Sang Murabbi ini mengabadikan hidupnya untuk mencetak kader dakwah semenjak tahun 70an lagi. Di saat kebangkitan Islam menyelimuti dunia Islam, bahkan negara ini juga tidak terkecuali ,Ustaz yahya Othman bergerak ke seluruh negara untuk membudayakan tarbiah kepada pemuda dan belia Islam.
Dasawarsa 70an dan 80an adalah zaman subur merendang dengan usrah, tamrin, daurah , jaulah dan sebagainya, semua program ini begitu sinonim dengan Ustaz Yahya Othman.Bahkan , PAS berjaya merubah kepimpinan pada tahun 1982 ( transformasi kepimpinan )adalah kerana suburnya gerakan tarbiah dan pembinaan. Kepimpinan ulama yang menjadi teras kepimpinan PAS berjaya direalisasikan akibat hidupnya gerakan tarbiah yang berterusan, juga akibat generasi peserta kebangkitan Islam yang begitu ghairah untuk melihat PAS menjadi gerakan Islam yang bergerak diatas kefahaman ahli.
Kita semua para amilin jemaah akan sentiasa mempunyai ingatan kolektif terhadap jasa dan pengorbanan beliau, bahkan merasa kerinduan yang menggebu dengan sentuhan ‘air tangan’ beliau. Saya semasa menjadi Pengerusi Lujnah Tarbiah DPPWP dan Timbalan Pengerusi Lujnah Tarbiah DPPP, Ustaz Yahya adalah pimpinan yang sentiasa diundang untuk menjadi pengisi program tarbiah pemuda. Beliau sangat serius dalam persoalan menepati masa, bicaranya tenang namun tegas. Bersimpuh dihadapan beliau semasa program seolah didera dalam penjara Guantamao atau berada dalam sel regim Arab, bimbang diterpa soalan ‘cepu mas’ ustaz Yahya.
“Ayat apa tadi akhi?, surah apa?” Tanya sang murabbi dengan cerlungan mata pada peserta program tajnid.
“Ayat apa yang akhir ana cakap tadi…?” Tanya beliau dengan tegas, peserta akan menunduk dan menikus seperti tikus disimbah dengan air sirap bandung.
“Mengapa enta tak menulis semasa ana berkuliah?” Tanya sang Murabbi dengan tatapan tajam disebalik bingkai kaca mata kepada peserta tamrin, sebahagiannya menikus seperti tikus mondok tersimbah air longkang. Saya juga kecut perut seperti baru melintasi bilik mayat selepas jam tiga pagi.
“Mengapa tak menulis dalam jawi?” Tanya Ustaz lagi pada seorang peserta yang duduk di barisan hadapan, teman ini pucat, lulusan kampus tempatan ini adalah produk dasar pendidikan negara yang tidak bersahabat dengan tulisan jawi.
“Ana sayangkan antum semua ini, antum semua anak ana, antum semua masa depan perjuangan Islam” kata sang murabbi dengan lirih, mata beliau berkaca dengan patah kata yang tersekat.
Di akhir program kami saling memeluk beliau, berpamitan dengan penuh ukhuwwah, ustaz sentiasa bermalam dengan peserta tamrin Pemuda, mengunyah apa sahaja yang dihidangkan bersama peserta. Keakraban beliau dengan peserta bukanlah dibuat-buat, keintiman ini berakar daripada kecintaan beliau untuk membina dan mencetak jurudakwah muda.
Buatlah tamrin jauh meranduk kawasan perbukitan , meredah kawasan yang paling rahsia untuk mengelak pengintipan musuh atau ke pulau terbiar, ustaz Yahya tidak pernah gagal untuk hadir. Biasanya pula sang murabbi akan sampai lebih awal daripada peserta tamrin.Sesibuk manapun beliau semasa menjadi Exco Kerajaan Kelantan namun program tarbiah adalah keutamaan.
“Mula pukul berapa akhi program ni” Tanya Ustaz Yahya pada saya dalam satu program pembinaan. Sebenarnya jauh di sudut hati ustaz tidak memerlukan jawapan, soalan itu adalah inzar kepada panitia yang gagal untuk mendisiplinkan peserta.Apa pun teguran yang diberi , saya dan kawan-kawan tidak pernah berkecil hati, malah hari ini ianya menjadi sebuah kerinduan yang sangat mendera perasaan,terakam indah dalam lipatan ingatan kita semua.
Sukarnya untuk melupakan jasa Ustaz Yahya kepada peserta kebangkitan Islam , juga kepada kita semua didalam organisasi Dewan Pemuda. Setiap kali bertemu, hati kecil akan berdoa “ Ya Allah, berilah kekuatan dan kesihatan kepada murabbi kami, kami masih merindui sentuhan beliau”.
Maka , teman-teman sekalian , jangan lupakan Ijtimak Tarbawi yang akan diadakan pada penghujung Syawal ini. Kita bertemu mata dengan penuh rasa ukhuwwah dan keghairahan untuk membedah perjalanan jamaah dan amal tarbawi, saat kita sibuk dibuaikan dengan mimpi-mimpi indah untuk menawan Putra Jaya.Ajak dan iklankan program ini semaksima mungkin, Ustaz Yahya yabg semakin uzur pun akan memberikan pengisian untuk kita semua.
Jom..jangan tak datang!
**Penulis adalah Exco DPPP, pendakwah dan Perunding Motivasi
Usaha beberapa ulama dan para pemimpin PAS mengemukakan hujah Al-Quran dan Sunnah yang mengharuskan orang bukan Islam memasuki masjid, setelah mendapat izin pihak berkenaan, telah dapat membersihkan imej Islam yang dikotori golongan tertentu.
Malah telah mempererat lagi hubungan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat serta menggagalkan usaha mereka memecah belahkan Pakatan Rakyat dengan menimbulkan pelbagai isu yang bersifat fitnah, tuduhan dan rangkaian kata-kata karut marut yang disebarkan dalam media tradisional yang dikuasai golongan itu.
Tokoh ulama seperti Tuan Guru Haji Nik Abd Aziz Nik Mat, Dr. Muhd Nur Manuty, Dr. Dzulkifly Ahmad, Dr. Mujahid Yusuf Rawa dan lain-lain serta para tokoh pemimpin PAS, Haji Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub dan lain-lain telah benar-benar membantu menjernihkan keadaan, di samping memperlihatkan wajah Islam sebenar kepada anggota Pakatan Rakyat.
Dengan itu, gagallah usaha musuh politik Pakatan Rakyat – Umno/BN – untuk memporakperandakan Pakatan Rakyat dengan menaburkan isu karut marut yang sangat berbau perkauman dan kebencian.
Malah kita terkesan juga bahawa umat Islam sendiri kebanyakannya faham hal ini dan tidak terpedaya dengan isu palsu yang ditimbulkan. Masjid dan surau, kuliah-kuliah, tazkirah tidak lansung membangkitkan isu ini bahkan melawan balik – suatu isyarat bahawa umat Islam sedar isu ini hanya 'permainan' golongan politik sekular yang bangkrap idea.
Bahkan susana Bazaar Ramadan sendiri – tempat rakyat biasa pelbagai kaum dan agama – tetap harmonis, dengan pelbagai golongan rakyat membeli pelbagai juadah dengan wajah ceria, seperti tidak terkesanpun dengan berita palsu yang karut marut.
PAS telah berdiri gagah menampilkan kebijaksanaannya dengan mengemukakan pandangan Islam yang sebenar mengenai isu palsu yang dibangkitkan itu, iaitu seperti isu khatib dikatakan berdoa kepada pemimpin bukan Islam, isu wakil rakyat bukan Islam mengunjungi masjid dan surau untuk menyampaikan bantuan dan berucap pendek.
Pemimpin dan pendukung Pakatan Rakyat dari kalangan Islam dan bukan Islam mendapat fahaman Islam yang cukup jelas mengenai isu ini dengan penerangan para tokoh in. Sementara ulama seperti Tuan Guru Haji Nik Abd Aziz Nik Mat, Dr. Muhd Nur Manuty, Dr. Asri Zainal Abidin dan lain-lain telah menjernihkan imej Islam yang dikotori oleh golongan tertentu. Tokoh ulama berwibawa ini telah mengemukakan hujah ilmu mereka berdasarkan hujah Al-Quran, sunnah dan hadis.
Setakat ini, para tokoh Umno/BN dan penyokong serta ‘ulama’ mereka tidak mampu mengemukakan hujah ilmu untuk mempertahankan sikap mereka. Kenyataan demi kenyataan mereka hanya berupa rangkaian tuduhan karut marut yang berbau politik kepartaian, perkauman dan prejudis, tidak lebih dari itu.
Ini menunjukkan kedangkalan ilmu Islam mereka, tetapi malangnya pandanga mereka ini benar-benar merosakkan imej Islam.
Saya memetik pandangan tokoh ulama berwibawa, Dr. Muhd Nur Manuty mengenai hal ini. Dalam sebuah kenyataan beliau berkata:
“Sekurang-kurangnya ada empat pandangan mengenai persoalan orang bukan Islam masuk dalam masjid. Pertama: Mazhab Hanafi yang membenarkan bukan Islam memasuki semua masjid.
Kedua: Mazhab Syafie yang membenarkan masuk kesemua masjid melainkan masjid Haram dan kawasan tanah haram Makkah.
Ketiga: Mazhab Hanbali yang membenarkan untuk memasuki Masjidil Haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah. Akhirnya, Mazhab Maliki yang tidak membenarkan memasuki semua masjid melainkan kerana dharurat kerja.”
Menurut Dr. Muhd Nur Manuty lagi, beberapa peristiwa di zaman Rasulullah juga boleh dijadikan panduan. Baginda pernah membenarkan ramai orang bukan Islam masuk dan tinggal lama di masjid. Rasulullah juga diriwayatkan pernah menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah diizinkan oleh Nabi s.a.w untuk menunaikan solat mereka di dalam masjid dan nabi menyebut kepada sahabat: “Biarkan mereka (untuk menyelesaikan sembahyang mereka)”
Kepelbagaian pandangan ini menggambarkan keluasan hukum Islam dalam persoalan yang digembar-gemburkan sebagai isu besar ini.
Hakikatnya, kata beliau, majoriti ulama silam dan kontemporari jelas mengharuskan bukan Islam memasuki masjid biasa dengan syarat tertentu seperti keperluan mendapat keizinan umat Islam atau badan berkuasa Islam, mempunyai sebab yang munasabah dan menjaga adab-adab yang telah ditetapkan.
Oleh yang demikian, tambah beliau lagi, adalah tidak wajar bagi siapa jua untuk menyempitkan sesuatu yang tidak jelas dari sudut nas-nasnya dan dalil-dalilnya. Apatah lagi jika kita sememangnya berpegang dengan mazhab al- Syafie sebagai mazhab rasmi umat Islam di negara ini.
Lebih jauh lagi, kata Muhamad Nur Manuty, sikap menghalang bukan Islam memasuki masjid ini adalah bertentangan dengan semangat yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat yang telah ditentukan.
Menurut beliau, amalan menerima bukan Islam memasuki masjid atas tujuan yang murni juga telah diamalkan di beberapa negara lain. Ia terbukti memberi nilai positif kepada keberkesanan pemahaman mereka kepada agama Islam, mengelakkan salah faham dan menjana interaksi yang harmoni dalam perhubungan di antara umat Islam dan bukan Islam.
Sewajarnya, para wakil rakyat Pakatan Rakyat perlu diberikan pujian kerana kesungguhan mereka dalam menjalankan tugasnya dengan baik kepada masyarakat majmuk di negara ini. Apatah lagi ia memang telahpun mendapat kebenaran pihak pengurusan masjid dan dilakukan pula atas tanggungjawab mereka sebagai wakil Kerajaan Negeri Selangor.
“Kekecohan yang digembar-gemborkan hakikatnya akan memakan tuan. Inilah gambaran kegagalan Umno selama ini dalam mendidik rakyat mengenai hakikat Islam. Sikap seperti ini akan menyuburkan pendirian fanatik melulu di kalangan orang Islam yang kurang berilmu,” kata beliau.
Lebih-lebih lagi, katanya, berita mengenainya ditokok tambah dengan pelbagai fitnah baru demi mencapai matlamat politik sempit yang diperjuangkan.
Dr. Muhamad Nur sentiasa mengingatkan bahawa umat Islam tidak boleh merelakan diri mereka terus dibelenggu dalam kerangka pemikiran sempit politik perkauman dan agama ala Umno ini. Ini kerana ia akan menjadikan kita semakin lesu sementara masyarakat bukan Islam pula semakin menjauh dari kita.
Hakikatnya, kata beliau lagi, tanpa mereka jangka, krisis yang mereka wujudkan ini akan menjadikan orang Melayu dan masyarakat Islam lebih memahami agamanya secara total dan lebih berkeyakinan bahawa Islam dan masyarakat Melayu akan lebih terjamin di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat pada masa depan.
Ketuanya, Nasruddin Hassan berkara, kes jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang dibunuh dan dibakar seakan menggambar sistem perundangan sivil yang sedia ada dilihat kurang berkesan bagi membendung aktiviti jenayah.
"Cadangan kami, iaitu perlaksanaan syariah Islam atau undang-undang jenayah syariah Islam sebagai alternatif bagi mengatasi jenayah yang semakin parah ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media petang tadi di Pejabat Agung PAS selepas mesyuarat dewan itu hari ini.
Bagaimanapun katanya, rakyat seharusnya telebih dahulu diberi penjelasan berhubung keadilan perundangan Islam sebelum perlaksanaan dibuat sesuai dengan semangat demokrasi di tanah air.
Tambahnya lagii, alternatif itu juga selaras dengan muafakat yang dipersetujui bersama antara PAS, DAP dan PKR atas nama Pakatan Rakyat.
Ini kerana, kerajaan pusat sebelum ini pernah mengetepikan cadangan kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu untuk melaksanakan undang-undang Syariah bagi memulihara sosial masyarakat.
Dari segi yang lain, beliau berkata, Dr. Rowan D. Wiliiams, seorang Paderi pernah mencadangkan undang-undang syariah sebagai perundangan alternatif bagi menangani kebejatan sosial di Barat.
"Kalau Barat melihat perlunya undang-undang syariah bagi mengekang gejala sosial dan jenayah yang begitu parah, kenapa tidak Malaysia yang majoritinya penduduk beragama Islam," soalnya sambil menganggap tindakan paderi itu adalah tidak salah mengikut lunas demokrasi.
Turut menyertai kenyataan media itu, Timbalan Ketua DPPP, Azman Shafawi dan Naib Ketua, Ahmad Sabki Yusof.