












KOTA BHARU, 7 Okt: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V berkenan mengedarkan 99 ekor lembu ke seluruh negeri pada 8 Oktober untuk diagihkan kepada rakyat miskin sempena dengan Keputeraan Tuanku Al-Sultan.
Pengelola Istana D’Raja Kelantan, Datuk Abdul Halim Ahmad dalam satu kenyataan media semalam berkata bersempena dengan keputeraan itu, program berbentuk keagamaan dan kebajikan diatur Pejabat Sultan Kelantan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan ketua jajahan di negeri ini.
Katanya, pada pagi esok (8 Oktober), baginda akan menyembelih sendiri lembu di Masjid Muhammadi sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut sementara lembu-lembu yang lain akan diedarkan kepada ketua-ketua jajahan untuk diagihakan kepada sekalian rakyat jelata.
KOTA BHARU, 30 Sept: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan Khas yang bermula kira-kira jam 9.00 pagi ini merakamkan ucapan tahniah (merafak sembah) dan sembah taat setia kepada Sultan Kelantan yang baru, Sultan Muhammad ke-V.
Cadangan merafak sembah (ucapan tahniah) yang mewakili kerajaan negeri dan rakyat Kelantan dikemukakan Adun Air Lanas, Ustaz Abdullah Yakob (kanan) sebentar tadi yang disokong oleh Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamad(kiri).
Turut menyokong cadangan ucapan tahniah itu, Ketua Pembangkang, Datuk Alwi Che Ahmad, (BN-Kok Lanas).
Abdullah ketika berucap membentangkan cadangan rakaman tahniah itu berkata perlantikan dan pemasyhuran baginda sebagai Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad ke-V dinanti-nantikan oleh rakyat seluruhnya.
Beliau juga turut mengakui rakyat seluruh Kelantan melahirkan rasa gembira di atas perlantikan dan pemasyhuran baginda sebagai Sultan Kelantan pada 13 September lalu.
Sambungnya lagi, perlantikan itu juga sejajar dengan kehendak rakyat memandangkan baginda lebih mengambil perhatian serta menyelesaikan mereka.
“Kami dari pihak kerajaan negeri sentiasa menyokong Tuanku sejak mula tuanku ditabalkan sebagai Sultan Kelantan lagi,” ujarnya.
Katanya lagi, perlantikan baginda bagi menggantikan ayahanda baginda yang sedang gering bertepatan dan tidak menyalahi undang-undang memandangkan Sultan Ismail Petra tidak mampu lagi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.
Abdullah berkata, baginda yang gemar turun ke bawah untuk menunaikan solat sunat hajat dan menyelami masalah rakyat begitu mengharukan rakyat seluruh negeri ini.
Sementara itu, Alwi turut menyokong perlantikan dan pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru.
“Saya mewakili Barisan Nasional Kelantan menyokong penuh di atas perlantikan tuanku sebagai Sultan Kelantan yang baru yang membawa gelaran Sultan Muhammad Ke-V,” ujarnya.
Drs Zainuddin Awang Hamad, ketika mengambil bahagian dalam perbahasan bagi menyokong ucapan merafak sembah itu mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mengganggu-gugat kedaulatan Sultan Kelantan sekarang.
Katanya, perlantikan baginda yang sah di sisi undang-undang itu, jangan sekali-kali dicabar oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Persidangan khas hari ini turut merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Chek Hashim Sulaima.
Speaker Dun, Datuk Nasaruddin Daud, ketika memulakan sesi persidangan Dun Khas itu berkata Dewan Undangan Negeri Kelantan, mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham di atas pemergiannya.
“Kita mendoakan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan keluarga bersabar menerima ujian ini,” ujarnya.
Semua anggota dewan termasuk pembangkang dan pemerhati mengaminkan doa yang dibacakan oleh Speaker untuk allahyarham.
KOTA BHARU, 30 Sept: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V hari ini menarik balik gelaran Temenggong dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) (Al-Yunus) yang dianugerahkan kepada Tengku Muhammad Fakhry Petra berkuat kuasa serta merta.
Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Aiesri Alias, berkata turut dilucutkan, Tauliah Pelantikan Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.P.M.K) (Al-Muhammadi 1).
Menurutnya, penarikan itu telah dimaklumkan kepada Muhammad Fakhry Petra sendiri hari ini melalui surat yang ditandatangani sendiri olehnya.
“Surat itu dihantar kira-kira pukul 10.00 pagi tadi oleh wakil saya, Mohd Rusdi Ismail di Istana Mahkota, Kubang Kerian kepada kakitangan istana berkenaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang medianya selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri anjuran kerajaan negeri di Kota Darulnaim tengah hari tadi.
Ketika ditanya punca penarikan itu beliau berkata, baginda sultan mempunyai sebab yang tersendiri berhubung penarikan itu.
KUALA TERENGGANU, 29 Sept: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib menyifatkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai orang yang bijak berpolitik menjelang pilihan raya kecil Dun Galas.
“Saya rasa Tengku Razaleigh orang yang bijak berpolitik. Biasanya, dia pandang pada suasana dan realiti,” ujarnya pada sidang media sempena Majlis Rumah Terbuka Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Beliau pada umumnya melihat ramai tokoh veteran Umno kini sudah bersama-sama dengan PAS khususnya dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
Ini, katanya kerana mereka sudah hilang keyakinan kepada Umno.
Begitupun, beliau tidak menafikan pengaruh Razaleigh sebab Dun Galas termasuk dalam kawasan parlimen Gua Musang yang merupakan kubu Umno.
“Tetapi Tengku Razaleigh sendiri pun insya Allah, akan memberi sokongan kepada calon PAS dalam pilihan raya kecil Dun Galas akan datang ini,” ujarnya.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri menaruh harapan para pengundi bertambah yakin kepada PAS dalam pilihan raya kecil Dun Galas nanti walaupun pertama kali PAS menang di situ pada pilihan raya umum lalu.
“Saya rasa selepas kita menang ini, perkhidmatan wakil rakyat itu orang boleh kenal, khususnya wakil rakyat PAS (Allahyarham Chek Hashim) berkhidmat dengan baik di sana (Galas) dan kerajaan negeri Kelantan pun memberi suatu perkhidmatan yang baik,” katanya.
Ini, katanya akan menambahkan keyakinan para pengundi kepada PAS.
“Insya Allah, kita akan sama-sama mempertahankan Dun Galas sehingga kekal menjadi milik PAS dalam pilihan raya kecil akan datang. Kita harap dapat majoriti yang lebih besar, insya Allah,” ujarnya.
Beliau turut mengalu-alukan jika Umno tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Dun itu kerana parti itu sudah tidak berfungsi di Kelantan.
“Saya tidak mengharapkan (Umno tidak bertanding) tetapi jika Umno BN tidak mahu bertanding, kita mengalu-alukan,” katanya.
Ketika ditanya jika ada pertandingan merugikan masa, tenaga dan wang ringgit, beliau berkata kemungkinan pandangan bukan orang politik membazir tetapi bagi Umno, mereka mahu mencuba kekuatan PAS di Kelantan.
“Kita menunggu sahaja,” katanya.
KOTA BHARU, 29 Sept: Masterskill Education Group Berhad telah meluluskan peruntukan pelaburan sebanyak RM31 juta bagi membina kampus baru di negeri ini.
Pelaburan itu bertujuan untuk menjayakan hasrat menjadikan kampus Kolej Masterskill di Kota Bharu sebagai kampus utama kawasan Pantai Timur.
Pengurus Masterskill Kota Bharu, Mohd Nazir Abdullah, berkata dianggarkan 6,000 orang pelajar dapat ditempatkan di kolej terbabit apabila ianya beroperasi sepenuhnya menjelang 2011.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian komputer riba kepada 400 orang pelajar Kolej Masterskill Kampus Kota Bharu, pagi tadi.
Menurutnya lagi, kerja-kerja pengubahsuaian bangunan berkenaan yang terletak berhampiran Tesco kini sedang giat dijalankan.
“Jumlah pelaburan yang begitu besar membuktikan komitmen Masterskill sendiri untuk menjadikan Kelantan sebagai salah satu pusat perkembangan pendidikan tinggi di Semenanjung Malaysia selepas cawangan di Kota Kinabalu bagi kawasan Malaysia Timur,” ujarnya lagi.
Sementara itu, sebanyak RM10 juta dibelanjakan untuk pembiayaan pembelian komputer riba kepada para pelajar yang telah bermula sejak awal lagi.
“Objektif utama sumbangan ini untuk mereka bagi mendorong minat pelajar dalam meningkatkan mutu pembelajaran,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa bangga di atas tindakan yang diambil pihak Masterskill kepada pelajarnya.
Katanya, ia adalah sebahagian tanggungjawab sosial Masterskill untuk para pelajarnya.
KOTA BHARU, 28 Sept: Habib Jewels memilih Kelantan sebagai negeri pertama untuk pelaburannya dalam bidang perhotelan kerana yakin dengan perkembangan ekonomi yang pesat di negeri ini.
Pengurus Besar Habib Jewels Holding, Abdul Razak Abdul Kader, berkata setelah setahun pihaknya membuat kajian berhubung perkara itu, akhirnya bulan Ogos lalu, hotel yang bercirikan ‘butik’ itu beroperasi di Kelantan.
Bagaimanapun, menurutnya, ianya akan dibuka secara rasmi pada 14 Oktober ini di mana satu majlis perasmian akan diadakan.
Menurutnya lagi, berdasarkan maklumat yang diperolehi peluang ekonomi di Kelantan akan bertambah maju pada masa akan datang.
“Kerana itu kami sebagai orang bisnes sanggup melabur di negeri ini dalam eset yang lain pula,” ujarnya.
Tambahnya, pada masa yang sama ianya juga bakal memberi peluang pekerjaan pada masyarakat Kelantan apabila sebahagian besar pekerja di hotel tersebut termasuk ‘show room’ Habib Jewels dan kilang terdiri dari masyarakat Kelantan.
Sambung Razak lagi, sambutan orang ramai terhadap hotelnya hampir memenuhi sasaran sebagaimana yang dijangkakan walaupun baru sebulan dibuka.
Ini kerana, katanya lebih 50 peratus pengunjung telah mendiami hotel tersebut yang terdiri dari ahli perniagaan, kakitangan kerajaan Persekutuan dan pelancong tempatan.
Hotel Habib menawarkan dua pilihan kepada pelanggannya iaitu superior dengan harga RM130 dan deluxe RM150 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 32 bilik.
Kedudukannya yang begitu strategik di tengah bandar Kota Bharu dijangka akan mendapat sambutan yang lebih hebat pada masa akan datang.
Allahyarham yang mengidap penyakit barah di bahagian paru-paru menjalani rawatan di hospital berkenaan sejak hampir seminggu lalu.
Sebelum itu beliau menjalani rawatan perubatan tradisional Cina di Serdang.
(Gambar kiri: Para pemimpin PAS di samping jenazah Chek Hashim di Pusat Perubatan Islam Kampung Baru. Gambar kanan: Chek Hashim)
Allahyarham dikesan menghidap penyakit berkenaan sejak dua tahun lalu dan pernah mendapat rawatan beberapa bulan di China.
Pada Ramadan tahun lepas, beliau menjalani rawatan di Orient Hospital Guanzhong. Sebelum itu Chek Hashim mendapat rawatan awal di The First People's Hospital juga di Guanzhong.
Keadaan kesihatannya agak serius sebelum itu. Kepulangannya daripada menjalani rawatan di China tahun lepas disambut wakil-wakil rakyat dan penduduk Gua Musang.
Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Mac lalu beliau turut hadir. Bagaimanapun pada persidangan Jun lalu beliau mohon bercuti.
Dan pada Julai lalu, Adun Galas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu.
Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan petang 26 Julai lalu selepas tiga hari pulang dari menjalani rawatan kimoterapi di sebuah hospital di China.
Allahyarham meninggalkan dua balu, Che Bongsu Jusoh dengan tujuh orang anak dan Aida Zakaria pula lima orang anak.
(Gambar: Pulang ke kampung halaman. Jenazah Chek Hashim dibawa dengan ambulan ke Gua Musang untuk dikebumikan)
Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mewakili seluruh kepimpinan dan ahli PAS seluruh negara merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Che Hashim dan rakyat di Dun Galas di atas pemergian Almarhum.
"Sesungguhnya Almarhum adalah seorang yang gigih menjalankan tugas dan komited dengan perjuangan. Marilah sama-sama kita berdoa agar roh beliau dirahmati oleh Allah," ujarnya dalam kenyataan ringkas.
Bagi timbalannya, Ustaz Nasharudin Mat Isa, pemergian Almarhum adalah kehilangan besar bagi rakyat Kelantan.
"Saya difahamkan, perlibatan Almarhum dengan PAS sejak zaman muda lagi, Almarhum banyak berjasa kepada rakyat. Semoga jasanya berkhidmat di Galas, untuk rakyat Kelantan dirahmati Allah. Bagi kita, sumbangannya akan seperti tinta emas dalam perjuangan kita, PAS," ujarnya yang menziarahi allahyarham di hosiptal berkenaan.
Turut memberi penghormatan ialah naib presiden, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub serta Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato' Mohd Amar Abdullah berkata, tanpa diumpan dengan rasuah kebendaan pengundi di Manek Urai tidak mungkin beralih sokongan kepada BN.Katanya, majoriti kecil itu tidak menggambarkan rakyat semakin menerima Umno dan BN, sebaliknya ia hanya bersifat sementara.
"Berdasarkan rekod, kita akan mendapat balik majoriti tinggi pada pilihan raya umum.Contohnya pada pilihan raya umum 2004 PAS kalah di situ dengan majoriti 53 undi.
"Namun dalam pilihan raya umum tahun lalu kita dapat rampas kembali Dun Manek Urai dengan majoriti lebih besar. Dan tidak mustahil perkara ini akan berulang," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima kunjungan tiga pensyarah dari Unversiti Nasry Mansourah, Mesir di JKR 10 baru-baru ini.
Pada pilihan raya kecil itu baru-baru ini PAS menang dengan majoriti 65 undi, sedangkan pilihan raya umum tahun lepas PAS majoriti diraih PAS sebanyak 1,352 undi.
Mohd Amar yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, PAS akan melakukan post mortem pilihan raya kecil tersebut. - mj