SHAH ALAM, 10 Okt: Briged Muslimat yang ditubuhkan di bawah Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) akan bergerak aktif ke seluruh negara bagi memberikan kefahaman politik kepada golongan wanita muda khususnya peri penting memilih PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti.
Ketua DMPP, Nuridah Mohd Salleh berkata, dengan tertubuhnya Briged Muslimat ini, tenaga kerja wanita muda dalam PAS akan digunakan secara tersusun bagi memberi fokus untuk mendekati pengundi wanita.
"Penglibatan dalam Briged Muslimat ini melangkaui bangsa dan kaum asalkan mereka berminat dan bersungguh-sungguh untuk membantu PAS dalam usaha menarik golongan wanita muda untuk menyokong dan seterusnya menjadi ahli PAS," kata beliau dalam sidang media selepas majlis pelancarannya di dewan Perpustakaan Raja Uda, dekat sini, petang semalam.
Pelancarannya disempurnakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan turut dihadiri timbalan DMPP, Siti Zailah Yusuf, setiausaha, Kartini Ahmad, pengarah pilihan raya muslimat, Dr Siti Mariah Mahmud dan ahli jawatankuasa DMPP, Rosni Adam.
Nuridah juga berkata, penubuhan Briged Muslimat ini membuktikan bahawa DMPP memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada muslimat muda untuk memberikan sumbangan kepada parti.
"Muslimat menyediakan satu platform kepada wanita muda yang mahu bergiat aktif dalam parti.
"Penubuhan Briged Muslimat membuktikan bahawa sejak dahulu hingga kini, kami sangat menghargai bahkan mengalu-alukan peranan yang telah dimainkan oleh wanita muda dalam PAS," katanya yang juga ketua muslimat PAS Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai peranan Briged Muslimat dalam masa terdekat ini, Rosni memberitahu, briged ini menggesa kerajaan mewujudkan sistem pendaftaran automatik sebagai pemilih bagi rakyat yang sudah mencapai umur layak mengundi.
"Briged Muslimat juga akan memastikan peningkatan undi wanita muda dalam pilihan raya kecil Dun Galas seterusnya dalam PRU ke-13," katanya.
Briged Muslimat ini juga, ujarnya amat penting memandangkan golongan pengundi wanita muda mewakili pecahan nisbah yang besar daripada jumlah keseluruhan pengundi di Malaysia.
SHAH ALAM, 9 Okt: Briged Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) atau ringkasnya Briged Muslimat yang akan ditubuhkan secara rasmi petang ini bersiap sedia menggalas tanggungjawab membantu jentera parti di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas.
Ahli jawatankuasa , Rosni Adam berkata, PRK Galas merupakan medan pertama bagi menguji kekuatan mental dan fizikal Briged Muslimat setelah ianya ditubuhkan secara rasmi.
"Kita sudah lama merancang untuk penubuhan briged ini dan memilih hari ini untuk dilancarkan secara rasmi.
"Secara kebetulan berlaku PRK dalam waktu terdekat ini. Oleh itu secara tidak langsung briged ini akan dikerah untuk membantu gerak kerja di Galas," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.
Beliau berkata, Briged Muslimat dijangka akan turun membantu jentera pilihan raya PAS Kelantan setelah mendapat arahan daripada pengarah jentera pilihan raya muslimat (Halwa) yang akan bermesyuarat dalam masa terdekat ini.
Mengulas lanjut mengenai penubuhan Briged Muslimat, beliau menjelaskan, ianya terletak di bawah seliaan penuh DMPP bertujuan untuk mendekati pengundi wanita muda dalam PRU ke-13 nanti.
"Selama ini muslimat muda memang sudah terlibat secara langsung dalam PRU tapi dengan tertubuhnya briged ini, gerak kerja untuk mendekati pengundi wanita muda akan lebih tersusun," katanya.
Tugas Brriged Muslimat juga katanya termasuk untuk membantu proses daftar pemilih di kalanagan wanita muda.
Majlis pelancarannya akan berlangsung jam 5 petang ini di dewan Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam dan akan disempurnakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Pelancaran itu juga akan dihadiri ketua DMPP, Nuridah Salleh
KOTA BHARU, 2 Okt: Dewan Muslimat PAS Kelantan telah bersedia untuk ‘menggalas’ tanggungjawab di Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas bagi menghadapi pilihan raya kecil nanti.
Ketuanya, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof, berkata Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan yang sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya, bukan setakat pilihan raya kecil Dun Galas, sebaliknya Pilihan Raya Umum ke-13 nanti akan memastikan calon PAS memenangi Dun berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Himpunan Halwa Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan, yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), dekat sini hari ini.
Program berkenaan dan pelancaran tabung pilihan raya umum dan Dun Galas dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Hadir sama pada program itu, Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Mahmood dan Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.
Katanya lagi, Dewan Muslimat PAS seluruh Kelantan akan memastikan calon PAS mengekalkan kemenangannya pada pilihan raya kecil akan datang.
“Kita yakin pengundi tidak akan memihak pada calon BN memandangkan kerajaan BN hari ini mengkhianati rakyat Kelantan dengan menafikan pembayaran royalti.
“Selain itu, rakyat juga telah sedar Umno dan BN gagal mentadbir negara, bukan sahaja setakat gejala sosial semakin tenat berlaku di negara ini, sebaliknya kerajaan tidak boleh lari dari mendapatkan hasil ekonomi negara dari judi,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.
Sambungnya, sepanjang tahun lalu kerajaan Malaysia berjaya perolehi RM12.67 bilion dari hasil cukai lesen judi di seluruh negara.
Katanya, rakyat kena sedar, lesen judi hanya boleh diluluskan oleh Kerajaan Pusat dan bukannya kerajaan negeri.
“Paling menyedihkan, hasil cukai lesen judi kerajaan membelanjakan untuk bantuan pelajar sekolah, membantu orang susah di samping mangsa bencana alam seperti banjir dan ribut.
“Sanggupkah kita menikmati hasil judi yang tentunya diharamkan oleh Allah, dan sanggupkah kita menerima hasil judi untuk selama-lamanya?” soal Zailah lagi.
-harakahaily

KUALA LUMPUR, 23 Sept: Tindakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menganjurkan sidang kemuncak First Ladies pada 11 hingga 13 Oktober ini disifatkan sebagai 'tidak sopan' dan membelakangkan kedudukan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, Rosmah masih tidak mahu mengambil iktibar daripada teguran yang diterima selepas iklan berwarna dua halaman penuh memaparkan Rosmah disiarkan di New York Times pada April lalu.
Ia adalah iklan ucapan tahniah kepada 'Rosmah Mansor, Wanita Pertama Malaysia' kerana menerima anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010.
"Tindakan Rosmah ini satu tindakan yang sangat tidak bersopan. Setelah mendapat kritikan daripada banyak pihak selepas iklan itu, kita ingatkan dia belajar daripada kesilapan dan tahu meletakkan diri dia di mana," kata Athirah ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Athirah yang merupakan Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat PAS Pusat berkata, penggunaan istilah 'wanita pertama' itu juga ternyata bertentangan dengan Artikel 32, Perlembagaan Malaysia.
"Dalam artikel itu jelas menyebut bahawa ketua pertama negara ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong jadi secara automatik, wanita pertama mestilah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong," katanya lagi.
Tambahnya, penggunaan 'wanita pertama' setelah Najib memerintah negara menunjukkan ceteknya kesedaran beliau mengenai kepentingan menghormati Perlembagaan Negara.
"Negara kita mengamalkan konsep Raja Berpelembagaan, bukan negara republik yang mempunyai presiden. Memang tidak pernah wujud istilah wanita pertama di negara kita.
"Apabila Najib dan Rosmah muncul, mereka guna istilah ini dalam negara yang berkonsepkan Raja Berpelembagaan, ini menunjukkan kesedaran mereka yang sangat cetek dari sudut sejarah dan berpelembagaan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, satu gerakan perlu diwujudkan bagi memberikan kesedaran kepada rakyat dan juga para pemimpin agar menghormati Perlembagaan Negara.
"Saya sebagai wanita muda Malaysia sangat terpanggil untuk menggerakkan kesedaran massa untuk menolak kebiadapan dan ketidaksopanan Rosmah yang membelakangi Raja Permaisuri Agong.
"Ini satu tindakan yang sangat derhaka dan rakyat mesti sedar dan menolak kepimpinan yang tidak menghormati keluhuran perlembagaan," tegasnya.
Beliau turut mempersoal tindakan Rosmah yang seolah-olah cuba mencampuri peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
"Dari satu sudut dia mempergunakan Sharizat. Isteri perdana menteri telah mempergunakan Menteri Pembangunan Wanita (Keluarga dan Masyarakat) untuk mengadakan satu program besar di negara kita dan akan menggunakan segala duit daripada hasil negara dan cukai yang dibayar oleh rakyat," katanya.
Rosmah seperti yang dilaporkan berkata, sidang kemuncak itu akan membincangkan perancangan secara bersama dengan wanita-wanita pertama dunia mengenai agenda penting dalam memperkasakan kanak-kanak yang akan menjadi pemimpin masa hadapan.
Ianya Sidang Kemuncak ini akan diadakan selama tiga hari di Hotel Palace Of Golden Horses, di sini, dan bakal dihadiri lebih 20 Wanita Pertama dari seluruh dunia.