











KEPALA BATAS, 3 Okt: "Biarkan Umno terjun dengan labu-labunya," itulah reaksi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap serangan Umno yang kian serabut dengan wang pemberian warga emas RM100 dan wang pengurusan jenazah warga emas sebanyak RM1,000.
Ujarnya, jika ada warga emas yang mahu memulangkan pemberian Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, mereka boleh berbuat demikian dengan mengutus surat mengatakan mereka tidak mahu menerima terus pemberian yang diperuntukkan kepada mereka setiap tahun.
“Jangan berikan kepada Umno, bimbang mereka mempergunakan wang itu untuk tujuan yang tidak manasabah kerana sejarah telah membuktikan parti itu sering tidak amanah terutamanya peruntukan menjelang pilihan raya kepada para petugas,” katanya.
Namun begitu, ujarnya kerajaan negeri tidak hairan dengan desakan Umno Kepala Batas dan yang terbaru di Bayan Baru kononnya mereka bersama dengan penduduk miskin menentang usaha murni kerajaan negeri berjiwa rakyat yang berusaha meningkatkan martabat bangsa, agama dan sosioekonomi menerusi penjimatan yang dilakukan.
"Sebelum ini Umno tidak pernah berikan sesen pun wang kerajaan kepada rakyat miskin yang mereka tahu golongan miskin diperkotakkatikan semasa pilihan raya tidak kira kecil ataupun umum," tambahnya ketika ditemui selepas meraikan sambutan Aidil Fitri PAS Kawasan Kepala Batas di Dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bertam petang tadi.
Katanya, Umno nampak serius melemparkan fitnah terhadap kerajaan negeri kononnya pemberian wang warga emas dan pengurusan jenazah daripada hasil judi sedangkan pemimpin mereka sendiri bergelumang dengan hasil judi.
Malahan, kata beliau ada antaranya terlibat menjadi jawatankuasa organisasi berhubung dengan perjudian.
“Jika macam itu bagaimana pendapatan mereka untuk diberi makan keluarga,” katanya.
Menurutnya, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farisan Darus sendiri telah menjelaskan sebelum ini bahawa wang sumbangan syarikat judi lumba kuda diasingkan untuk masyarakat bukan Islam dalam Rakan Anti Kemiskinan (RAK) bukan wang warga emas atau pengurusan jenazah.
"Saya pun tahu judi haram untuk orang Islam, maka kita asingkan tabungan itu, wang RM100 dan RM1,000 itu diambil dari wang penjimatan kerajaan," jelasnya.
Apa pun, tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Putih, tekanan yang dibuat oleh Umno BN itu membuatkan semua jentera kerajaan dan parti melaksanakan kerja dengan lebih efisyen.
Bukan sahaja jentera, ujarnya bahkan semua Exco dan kepimpinan parti dalam gabungan Pakatan Rakyat bertungkus lumus merangka program untuk memperjelaskan keadaan sebenar kepada rakyatGEORGETOWN, 30 Sept: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendesak Umno negeri supaya membuktikan dakwaan mereka bahawa seramai 40 orang warga emas yang menerima wang dalam program sumbangan warga emas sebanyak RM100 seorang sebelum ini telah memulangkan wang tersebut.
Mereka dikatakan memulangkan wang tersebut dalam satu majlis yang diadakan oleh Adun Penaga, Datuk Azhar Ibrahim di Pusat Khidmat Dun itu kerana tidak berpuas hati setelah didakwa wang tersebut adalah hasil dari sumber judi Kelab Lumba Kuda.
Exco Kerajaan Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim dalam sidang media pagi tadi menafikan dakwaan Azhar itu.
Beliau menyifatkan Azhar dan Umno Pulau Pinang cuba menjadi hipokrit dengan memperalatkan warga emas bagi mendapat simpati yang telah hilang terhadap mereka selama ini.
"Telah kita nyatakan bahawa hasil dari penjimatan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, maka wang sebanyak RM88 juta pada tahun 2008 dan RM77 juta pada 2009 telah dapat dijimatkan. Ini adalah lebihan hasil dari amalan ketelusan yang kita lakukan.
"Kita juga mengalami kerugian apabila terpaksa membayar sebanyak RM15 juta dalam isu skandal tanah yang melibatkan Tang Hak Jo semasa pemerintahan Umno dan Barisan Nasional sebelum ini,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri sebelum ini telah menafikan bahawa tiada unsur sumber judi yang melibatkan pemberian sumbangan wang kepada warga emas dan program penghargaan waris warga emas.
“Kita mempunyai dana yang cukup dan lebih dari apa yang mereka dakwa," tegasnya lagi.
Abdul Malik juga mencabar Azhar yang juga merupakan Setiausaha Umno Pulau Pinang supaya membuktikan senarai mereka yang menyerahkan kembali wang sebanyak RM100 sepertimana yang didakwa dalam majlis yang diadakan di Penaga semalam itu adalah mereka yang berdaftar dengan kerajaan negeri.
"Jika mereka itu adalah yang mendaftar dengan kerajaan negeri maka kita akan ambil langkah yang wajar dalam senarai nama tersebut,” ujarnya.
Beliau menambah, sekiranya nama mereka tidak terdapat dalam senarai yang berdaftar, maka ia membuktikan Umno telah merencanakan sesuatu untuk mencalarkan imej kerajaan negeri.
"Umno sepatutnya jangan memperalatkan warga emas dengan memperdayakan mereka sepertimana yang dilakukan semalam, semata-mata bagi mendapat sokongan," tambahnya lagi.
KEPALA BATAS, 25 Sept: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan dakwaan yang telah dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam yang mendakwa Kerajaan Negeri menggunakan wang dari sumber judi Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang untuk program miskin tegar.
Semalam, Reezal dalam sidang media beliau di Kepala Batas telah mendakwa kerajaan negeri memperolehi wang dari sumber judi sebanyak RM500 ribu dari kelab tersebut sebagai sumber untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.
Guan Eng berkata, sejumlah 90 peratus dari mereka yang tergolong dalam miskin tegar adalah masyarakat Melayu.
Namun begitu, katanya harus diketahui bahawa baki sebanyak 10 peratus lagi adalah di kalangan masyarakat bukan Melayu dan bukannya beragama Islam.
"Jumlah yang kita gunakan untuk masyarakat bukan Islam tidak harus dipertikaikan. Manakala bagi masyarakat Islam kita sedia maklum apa yang baik untuk mereka dan apa pula yang sebaliknya.
"Oleh kerana itu, maka usaha Umno memburukkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat (PR) ini sebenarnya tidak akan menjadi nyata kerana rakyat sudah tahu dan faham mengenai usaha mereka untuk menjatuhkan serta mencalarkan imej kerajaan negeri," katanya.
Menurut beliau lagi, jika sebelum ini Umno melalui Reezal juga telah menuduh kerajaan negeri menggunakan wang dari sumber judi untuk pemberian RM100 kepada warga emas dan tidak menjadi kenyataan setelah dinafikan dengan fakta, kini mereka beralih pula kepada wang kepada penerima miskin tegar.
Kata Lim lagi, adalah tidak munasabah untuk Kerajaan Negeri memberi sumbangan dari sumber judi kepada masyarakat Islam di negeri ini.
"Kita juga tahu apa yang boleh dan tidak boleh untuk diberikan sebagai sumbangan kepada masyarakat Islam. Oleh kerana itu janganlah Umno menjadikan isu ini sebagai modal politik mereka walaupun hendak mencari semula pengaruh yang hilang.
"Umno sepatutnya malu dengan kenyataan ini kerana merekalah sebenarnya yang menguasai kepimpinan Kerajaan Pusat bersama Barisan Nasional (BN) yang meluluskan kesemua lesen judi yang ada di seluruh negara ini.
"Bak kata pepatah menepuk air ke dulang terkena muka sendiri. Inilah umpama yang patut saya nyatakan kepada Umno dan BN yang cuba mencari kesalahan PR sejak kita mula memenangi pilihan raya 2008 yang lalu sehinggalah ke hari ini," tegasnya lagi.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan program 'Pembersihan Pantai Antarabangsa' di Pantai Robina, Teluk Air Tawar, Butterworth pagi tadi.