











Shazryl Eskay Abdullah Eskay, 51, dari Naka, Kedah, adalah seorang ahli fisioterapi yang pernah bekerja di Amerika Syarikat dan berkhidmat dengan sebuah pasukan di liga football negara itu dan juga pasukan kebangsaan mereka.
Sekembalinya ke tanah air, beliau berkhidmat dengan Persatuan Badminton Malaysia dan kini adalah seorang pengarah Aman Agropreneurs Sdn Bhd.
Pada 2005, beliau dilantik oleh Raja Thai sebagi konsul kehormat negara itu ke Malaysia di Langkawi bagi mewakili kepentingan rakyat Thai dan menjaga hubungan baik kedua-dua negara.
Sepanjang tahun 2006 hingga 2007, Eskay dan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai orang tengah bagi menyelesaikan konflik di selatan Thai yang dikenali sebagai Rundingan Damai Langkawi.Sepanjang tempoh 2008 hingga 2011, beliau dilantik sebagai pengerusi kehormat konsular kor di Malaysia.
Namun, ahli perniagaan itu yang juga pernah merawat sakit tulang belakang Anwar, mencuri tumpuan awal bulan ini berikutan saman RM20 jutanya ke atas Merong Mahawangsa Sdn Bhd dan pengarahnya, Datuk Yahya A Jalil.
Fokus ke atas Eskay semakin menyerlah minggu ini, apabila beliau mengakui sebagai sebahagian daripada anggota kumpulan Datuk T bersama bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim yang berperanan dalam pendedahan video lucah itu.
Rahim Tamby ChikRahim adalah bekas ketua menteri Melaka dan pernah dilantik sebagai ketua pemuda Umno. Beliau pernah diberi pujian kerana dikatakan berjaya membangunkan Melaka daripada terus dibuai mimpi sebagai sebuah negeri mundur.
Beliau juga bertanggungjawab memindahkan pentadbiran negeri daripada kota Melaka ke Ayer Keroh.
Semua ini, sebelum beliau bersara daripada semua jawatan politikberikutan dakwaan terbabit merogol seorang gadis sekolah di bawah umur. Rahim telah menafikan pertuduhan itu dan mendakwa Anwar adalah dalang di sebaliknya.Anwar bagaimanpun menafikan terbabit dengan pemecatan Rahim.
Beliau juga adalah dalam kumpulan Wawasan yang bersama Anwar, Najib Razak dan Muhyiddin Yassin yang menamatkan kerjaya politik timbalan perdana menteri ketika itu, Tun Ghafar Baba.
Shuib LazimSebelum dilantik sebagai bendahari PERKASA, Shuib adalah seorang senator dan ahli parlimen Sungai Petani. Beliau berasal dari Sungai Petani dan adalah juga bapa saudara kepada MP Sungai Petani ketika ini, Johari Abdul.
Beliau juga adalah bapa mertua kepada naib presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal.
Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali pernah dilaporkan berkata Shuib telah memaklumkan kepadanya hasrat beliau ingin berundur sebagai bendahari.
Meskipun didakwa sebagai anggota ketiga kumpulan Datuk T, Johari mempertahankan bapa saudaranya dan berkata beliau tidak percaya yang Anwar adalah lelaki dalam video seks itu.
Dua akhbar kawalan Umno, Utusan Malaysia dan New Straits Timeshari ini mendakwa tidak ada catatan Twitter atau Facebook Anwar pada 21 Februari antara jam 10.23 hingga 10.45 malam – masa yang dikatakan adengan seks membabitkan pemimpin kanan pembangkang dirakamkan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Pengarah Strategi Komunikasi PKR Rafizi Ramli dalam satu kenyataan menyertakan bukti dari petikan skrin akaun Facebook Anwar yang menunjukkan beliau menghantar pesanan ke akaun Twitter dan disambut oleh pengikutnya pada 21 Februari lalu.
Tertera adalah catatan yang dimaksudkan:
1040 malam: “Inshaallah”
1049 malam: “That's d Najib's plan. Our task: pursue reform agenda”
1050 malam: “Varsity students: Conscience of the majority”
1052 malam: “Modus operandi of rogue leaders”
1058 malam: “Bisa”
1103 malam: “Waras”
1103 malam: “Ada ruang bias ja”
1105 malam: “Ngak. Tapi ada sampaikan kuliah di UGM”
1108 malam: “RT @gst183 Revolution is the festival of d oppressed”
Jelas Rafizi, masa yang dicatatkan di Facebook adalah dua minit lebih lambat dari masa pesanan sebenar di akaun Twitter kerana menggunakan khidmat 'Selective Tweets'.
Sembilan pesanan
Rafizi berkata, Anwar menghantar sembilan pesanan ke akaun Twitternya di antara jam 10.38 hingga 11.06 malam.
Waktu rakaman video berkenaan adalah antara 10.20 hingga 10.41 malam.
“Semua laporan setakat ini oleh mereka yang menonton rakaman tersebut tidak menyebut mengenai si pelaku sedang melakukan seks sambil memegang telefon untuk menghantar pesanan ke akaun Twitter,” jelas beliau.
Malah Rafizi menegaskan pesanan-pesanan yang dihantar dan dilampirkan jelas adalah pesanan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang itu sendiri kerana lenggok bahasa dan interaksinya dengan pengikut-pengikutnya diketahui umum.
“Oleh yang demikian, mustahil si pelaku yang dirakam di dalam video adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Rafizi berkata ada pihak termasuk blog upahan Umno mendakwa wujud perbezaan masa sejam di antara catatan di laman Facebook dan laman Twitter.
Bohong besar
Itu kata beliau adalah pembohongan besar yang direka cipta kerana hakikatnya adalah Anwar di rumah dan berinteraksi melalui Twitter pada masa yang didakwa.
“Saya sertakan dua petikan skrin yang diambil dari laman Twitter dan Facebook Datuk Anwar yang menunjukkan bahawa pesanan yang dibuat melalui laman Twitter akan dihantar ke laman Facebook dua minit kemudian.
Oleh itu kata beliau, penjelasan-penjelasan ini sudah cukup untuk membuktikan kepada rakyat Malaysia betapa hinanya akhbar-akhbar milik Umno itu yang tanpa segan silu menyiarkan fitnah tanpa usul periksa, asal dapat menyebarkan dakyah tuan punyanya iaitu Umno.
“Dengan pendedahan ini, PKR mendesak Utusan Malaysia memohon maaf dan sekiranya enggan berbuat demikian, PKR akan mempertimbangkan tindakan lanjut untuk diambil terhadap Utusan Malaysia dan penulis blog Umno tersebut,” katanya.
Dalam laporan muka depannya hari ini bertajuk “Di Manakah Anwar Ibrahim” akhbar kawalan Umno itu mendakwa Ketua Pembangkang 'hilang' kira-kira dua jam pada 21 Febuari lalu, kerana tidak ada catatan dalam Twitter dan Facebooknya.
Niat jahat
Rafizi berkata, laporan itu jelas berniat jahat, dan bertujuan untuk menyambung fitnah dan serangan Umno ke atas Anwar dan Pakatan Rakyat.
Menurut Rafizi, tembelang Utusan Malaysia yang melambangkan rendahnya kawalan mutu kewartawanan.
“Malah isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hanya menjawab ringkas dengan menyatakan rasa terkejut dengan skandal terbaru suami beliau,” katanya di dalam blog http://novandri.blogspot.com.
Menurut Datuk T yang mendedahkan rakaman video seks Isnin lalu ia dirakamkan di sebuah hotel di ibu negara pada 21 Februari lalu.

KUALA LUMPUR, 25 Mac: Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini mengadakan demonstrasi aman bagi membantah 'konspirasi' video seks yang dikaitkan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bantahan yang diketuai ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin itu diadakan sejurus selesai solat Jumaat di Masjid Jamek Kuala Lumpur. Ianya antara siri mobilisasi AMK bagi memberi penjelasan kepada rakyat berhubung apa yang didakwa mereka 'siri fitnah ketiga' terhadap Anwar selepas fitnah liwat pertama 1998 dan liwat kedua yang kini sedang dibicarakan di mahkamah. "Ianya adalah siri fitnah yang ketiga bagi memastikan Datuk Seri Anwar terus dihina dan diaibkan oleh mereka-mereka yang tidak berpuas hati dengan reformasi yang kita kemukakan kepada rakyat," kata Shamsul kepada kira-kira 100 orang yang hadir mendengar. Dalam ucapannya juga, dia turut menyelar niat sebenar Tan Sri Rahim Thamby Chik iaitu individu di sebalik tayangan video seks kepada pihak media di Hotel Carcosa Negara, Isnin lalu. Selain Rahim, dua lagi rakannya iaitu ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, dan bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim didakwa turut terlibat dengan menggelarkan diri mereka bertiga sebagai 'Datuk T'. "Kita tahu Rahim Thamby Chik ni sifat dan karektornya. Dia merupakan pelaku penting dalam kes ini. Dia memberikan sogokan wang kepada seorang ahli parlimen Keadilan untuk keluar Keadilan," katanya lagi. Selasa lalu, Anwar yang juga ketua pembangkang membuat laporan polis selepas menafikan beliau adalah lelaki yang didakwa dalam video tersebut. Anwar turut mendakwa penglibatan Rahim yang juga bekas ketua menteri Melaka, adalah bukti pembabitan pemimpin peringkat tertinggi Umno. Terdahulu AMK turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar membuat siasatan dalam kes itu kerana dipercayai terdapat unsur rasuah dan penyelewengan. Mereka juga memberitahu akan ke pejabat Risda, Jalan Ampang bagi menyerahkan memorandum mendesak Rahim yang juga pengerusi Risda agar meletakkan jawatan. "Kita mesti hentikan sifat politik yang khianat dan keji seperti ini," katanya. |
SHAH ALAM, 10 Okt: Briged Muslimat yang ditubuhkan di bawah Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) akan bergerak aktif ke seluruh negara bagi memberikan kefahaman politik kepada golongan wanita muda khususnya peri penting memilih PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti.
Ketua DMPP, Nuridah Mohd Salleh berkata, dengan tertubuhnya Briged Muslimat ini, tenaga kerja wanita muda dalam PAS akan digunakan secara tersusun bagi memberi fokus untuk mendekati pengundi wanita.
"Penglibatan dalam Briged Muslimat ini melangkaui bangsa dan kaum asalkan mereka berminat dan bersungguh-sungguh untuk membantu PAS dalam usaha menarik golongan wanita muda untuk menyokong dan seterusnya menjadi ahli PAS," kata beliau dalam sidang media selepas majlis pelancarannya di dewan Perpustakaan Raja Uda, dekat sini, petang semalam.
Pelancarannya disempurnakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan turut dihadiri timbalan DMPP, Siti Zailah Yusuf, setiausaha, Kartini Ahmad, pengarah pilihan raya muslimat, Dr Siti Mariah Mahmud dan ahli jawatankuasa DMPP, Rosni Adam.
Nuridah juga berkata, penubuhan Briged Muslimat ini membuktikan bahawa DMPP memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada muslimat muda untuk memberikan sumbangan kepada parti.
"Muslimat menyediakan satu platform kepada wanita muda yang mahu bergiat aktif dalam parti.
"Penubuhan Briged Muslimat membuktikan bahawa sejak dahulu hingga kini, kami sangat menghargai bahkan mengalu-alukan peranan yang telah dimainkan oleh wanita muda dalam PAS," katanya yang juga ketua muslimat PAS Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai peranan Briged Muslimat dalam masa terdekat ini, Rosni memberitahu, briged ini menggesa kerajaan mewujudkan sistem pendaftaran automatik sebagai pemilih bagi rakyat yang sudah mencapai umur layak mengundi.
"Briged Muslimat juga akan memastikan peningkatan undi wanita muda dalam pilihan raya kecil Dun Galas seterusnya dalam PRU ke-13," katanya.
Briged Muslimat ini juga, ujarnya amat penting memandangkan golongan pengundi wanita muda mewakili pecahan nisbah yang besar daripada jumlah keseluruhan pengundi di Malaysia.
Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, seluruh pemuda negeri khususnya di Gua Musang dikerah untuk memulakan gerak kerja setelah jentera dilancarkan petang ini.
"Untuk peringkat kebangsaan kita dah lancar di program ijtima' minggu lepas dan hari ini untuk peringkat negeri Kelantan sendiri," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Menurut beliau, seramai 5000 pemuda di seluruh negara telah dikerahkan untuk turun membantu jentera Kelantan pada PRK kali ini.
"Kita telah sasarkan seramai 5000 pemuda akan turun bertugas mengikut syif yang ditetapkan," katanya.
Sementara itu, Ketua DPP Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman memberitahu, Kelantan telah menyediakan seramai 400 pemuda dari setiap kawasan untuk bertugas.
Jumlah petugas dijangka akan meningkat dari semasa ke semasa.
"Kita telah gerakkan gelombang pertama bermula 7 Oktober lalu. Setiap gelombang akan bertugas mengikut syif iaitu satu syif selama lima hari dan akan berterusan sehingga ke hari membuang undi," katanya.
Majlis pelancaran petang ini akan dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa dan akan dihadiri oleh beberapa pimpinan DPPP.

KOTA BHARU, 7 Okt: Pakar undang-undang perlembagaan menyifatkan campur tangan keterlaluan kerajaan (politik) dalam institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyebabkan kredibiliti jabatan itu tercemar dan boleh menghakis kepercayaan rakyat.
Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam antarabangsa (UIAM) berkata, jabatan polis sekarang dilihat dipergunakan parti pemerintah bagi mempertahankan hegemoni politik.
”Maka tidak hairanlah apabila polis terlalu banyak bidang kuasa sehingga kebebasan rakyat untuk bersuara pun terhalang.
“Seharusnya pihak polis perlu bertindak dengan bijak dan bukan menyekat kebebasan rakyat bersuara kerana ia dibenarkan dalam perlembagaan,” katanya ketika ditemui di Bengkel Penjelasan Perlembagaan Mengenai Konsep Federalisme di Bilik Gerakan Negeri di sini, hari ini.
Sebelum ini mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendedahkan ada campur tangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam institusi polis sehingga membelakanginya sebagai ketua jabatan.
Menurut Musa ada pegawai-pegawainya dikawal, sedangkan tanpa disedari perbuatan itu salah.
Dr Abdul Aziz berkata, kerajaan pusat mempunyai banyak saluran untuk menyebarkan maklumat kepada rakyat termasuk Jabatan Penyiaran Malaysia dan media harian.
Sedangkan katanya, pembangkang tidak mempunyai kemudahan tersebut kecuali ceramah politik bagi menjelaskan sesuatu isu kepada rakyat.
Oleh itu, beliau mencadangkan Jabatan Polis dibebaskan daripada tuan politik kerana peranan mereka menjaga ketenteraman awam.
”Jabatan Polis adalah milik rakyat dan mereka lebih memahami kehendak setempat termasuk polisi kerajaan negeri,” katanya.
Beliau juga berpendapat jabatan polis tidak perlu diberi tanggungjawab yang melampaui bidang tugas mereka bagi memperlihatkan kecekapan agensi berkenaan.
KUALA LUMPUR, 7 Okt: PAS mengingatkan Umno Barisan Nasional agar tidak menabur janji pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas kerana janji mereka di Manek Urai dahulu belum ditunaikan.
Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, Umno BN tidak wajar membuat janji baru selagi belum menunaikan janji lama.
"Janji di Manek Urai dahulu belum selesai, apa lagi yang mereka (Umno BN) nak janji di Gua Musang?" soal beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Dun galas dalam satu sidang media di Pejabat PAS Agung, Jalan Raja Laut, hari ini.
Abdul Halim yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa juga berkata, PAS optimis untuk mempertahankan kerusi di Dun berkenaan berdasarkan analisis pada pilihan raya umum lalu.
Menurut beliau, pada pilihan raya itu, jumlah pengundi di Dun Galas yang memilih calon BN sebanyak 3,826 manakala calon PAS mendapat 4,143.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustaffa Ali pula ketika mengulas mengenai pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya di Galas berkata, perkara itu ada baik dan buruk kepada Umno BN dan PAS.
Beliau berkata, PAS mengakui Tengku Razaleigh merupakan pemimpin berpengaruh Umno di Kelantan, namun beliau juga mempunyai banyak perbezaan pandangan dengan kerajaan pusat.
"Itu hak BN untuk melantik sesiapa sahaja sebagai pengarah (pilihan raya) tetapi saya melihat Ku Li akan mempunyai tanggungjawab besar dalam pilihan raya ini dan menjadi 'pedang dua mata'.
"Memang PAS menganggap Ku Li orang yang berpengaruh atas isu royalti dan sebagainya tapi dari segi perspektif lain dia merupakan pedang dua mata.
"Kalau dia menjadi pengarah dan BN kalah itu satu satu perkara yang boleh digunakan Pakatan tapi kalau dia menang dia boleh menaikkan imej BN," kata beliau.
Ujarnya juga, PAS tidak memandang remeh PRK kali ini dan akan menyusun strategi sebaik mungkuin dengan dibantu Pakatan Rakyat dari seluruh negeri.
"Kita tidak pandang mudah perkara ini sebab itu kita akan masuk PRK ini dan yakin Datuk Halim dengan pengalaman yang lama dan mengetahui politik di Kelantan ini akan bersama dengan pengarah jentera operasi akan dapat memainkan peranan yang terbaik dibantu oleh Pakatan Rakyat dari setiap negeri," katanya.
Menyentuh mengenai hari pembuangan undi yang jatuh pada hari berkerja, Mustafa berkata, ianya akan mempengaruhi peratusan keluar mengundi namun yakin kedua-dua parti akan mengerahkan pengundi untuk melaksankan tanggungjawab itu.
"Oleh sebab hari mengundi pada hari berkerja, tidak akan berlaku maksimum keluar mengundi tapi kalau semua kerah mungkin peratusan keluar mengundi tinggi.
"Saya nampak kedua-dua parti akan kerah pengundi untuk keluar mengundi," katanya.
Abdul Halim pula berkata, faktor musim haji juga mempengaruhi peratusan keluar mengundi.
"Yang keluar mengundi tidak akan sampai 80 peratus seperti dinyatakan SPR sebab orang sudah mula pergi Mekah. Walaupun saya belum buat analisis di Gua Musang tapi inilah realitinya samaada PAS atau Umno," katanya.
Sementara itu, Mustaffa memberitahu, pengarah pilihan raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun dilantik sebagai pengarah jentera operasi.
Mengenai calon yang akan bertanding, Mustafa berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat minggu hadapan selepas menerima senarai pendek calon yang layak daripada PAS Kelantan.
KUALA LUMPUR, 7 Okt: Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sedang mengumpul sukarelawan di kalangan masyarakat bukan Islam bagi membantu memenangkan calon PAS dalam pilihan raya kecil Dun Galas.
Timbalan pengerusinya, N. Bala Subramaniam turut menyuarakan rasa yakin bahawa Orang Asal di Dun tersebut akan melengkapkan jentera DHPP.
"Beberapa pilihan raya kecil yang lalu banyak memberi pengalaman kepada kita (DHPP) untuk menjelaskan Islam yang Tok Guru Nik Aziz ajar.
"Saya yakin orang-orang Asli di sana (Galas) akan bantu jentera khas kita untuk jelaskan,” ujarnya.
Beliau juga menganggap PAS lebih layak menangngani Islamofobia berbanding Umno.
Beliau berkata demikian memandangkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr. Mujahid Yusof Rawa merupakan antara tokoh PAS yang banyak membuka mata masyarakat bukan Islam untuk mendekati keindahan Islam serta perjuangan PAS.
"Umno atau Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri) tidak boleh selesaikan Islamofobia kerana mereka suka api perkauman.
"Tok Guru Nik Aziz, Dr. Mujahid serta pemimpin-pemimpin lain lebih layak dan boleh (tangani Islamofobia)," ujarnya pagi tadi ketika menghubungi Harakahdaily.
Menurut beliau, Nik Aziz, Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan telah membuktikan bahawa pemerintahan PAS selama 20 tahun di Kelantan menyaksikan keharmonian semua agama dipelihara.
"Lebih 20 tahun memerintah (Kelantan), kita tidak dengar Tok Guru bermusuhan dengan agama-agama lain.
"Tok Guru suka semua rakyat beragama supaya rakyat jadi naik," ujarnya.
Begitu juga dengan Mujahid, katanya Ahli Parlimen Parit Buntar itu banyak mewujudkan hubungan mesra dengan masyarakat bukan Islam sehingga mereka berminat untuk mengetahui tentang keindahan Islam serta menyertai PAS, melalui DHPP.
Berbeza dengan Umno, katanya era Najib menyaksikan orang bukan Islam dihalang dari mendekati Islam.
"Zaman Najib, orang bukan Islam tak boleh masuk masjid, nama (kalimah) Allah tidak boleh sebut, rumah ibadat terbakar dan banyak lagi," ujarnya.
Era Najib juga katanya, seakan tidak mahu orang Melayu dan bukan Melayu bersatu padu menurut Islam.
"Ajaran Islam ajar perpaduan sesama manusia, ajaran yang bukan dari Tuhan ajar mereka (Umno) api perkauman," beliau menambah.
PETALING JAYA, 7 Okt: “Kami berpendapat bahawa Rahimi Osman, bekas pembantu Anwar telah berbohong dalam laporan polisnya yang mendakwa beliau dipaksa membuat surat sumpah.
“Perkara ini akan dijelaskan oleh peguam dalam sidang akhbar tengah hari ini,” kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali.
PKR juga, katanya memandang berat atas percubaan beberapa orang, yang mengakui sebagai penyokonparti untuk menggagalkan sebuah sidang akhbar di Klang, semalam.
“Mereka dilaporkan sebagai bertindak kasar dan mengeluar kata-kata kesat pada masa itu.
“Hal ini tidak membantu kes fitnah kedua terhadap Anwar Ibrahim, bahkan menjejas imej parti,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, pagi ini.
Justeru, beliau ingin menegaskan bahawa PKR tidak pernah merestui, apatah lagi mengarah tindakan kumpulan itu.
Menurutnya, orang yang dikatakan memimpin kumpulan itu bukannya Naib Presiden Parti ataupun Pembantu Khas Anwar, seperti mana dilaporkan oleh sesetengah media.
KUALA LUMPUR, 5 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengucapkan selamat berjaya kepada para pelajar yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang bermula hari ini.
“Kepada anak-anak kita yang sedang menduduki peperiksaan PMR bermula hari ini, saya ucapkan selamat berjaya dan semoga mendapat kejayaan yang cemerlang.
“Paling penting, kejayaan yg sebenar ialah selamat dari api neraka dan berjaya mendapat syurga Allah SWT di akhirat kelak,” ujarnya yang juga Menteri Besar Kelantan di laman twitter.
Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) semalam, seramai 479,675 calon menduduki peperiksaan PMR mulai hari ini hingga 12 Oktober.
Daripada jumlah tersebut, 446,896 ialah calon dari Sekolah Bantuan Penuh, 5,069 dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Perantis Tentera.
Sebanyak 11,370 calon adalah dari sekolah agama tadbiran negeri, 14,756 calon sekolah swasta, 334 calon persendirian perseorangan dan 1,250 calon dari Sekolah Agama Rakyat.
Sebanyak 34,022 orang petugas di 3,499 pusat peperiksaan disediakan bagi menguruskan perjalanan PMR.
KUALA LUMPUR, 5 Okt: PAS berpandangan hajat Datin Seri Rosmah Mansor hendak ke Centrum voor Integrale Gezinsgorg (CIG) di Brussels, Belgium pada 5 Oktober (hari ini) bagi mendapatkan pelbagai input untuk menangani permasalahan buang bayi adalah tindakan yang tidak munasabah, seolah-olah kerajaan sudah hilang punca dan kontang idea.
“Fenomena ini sepatutnya dirujuk kepada mereka yang arif di negara ini sahaja bukannya di negara yang, iklim dan sosial budayanya berbeza,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
Tambahnya, tindakan yang dibuat oleh Datin Seri Rosmah untuk merujuk negara Brussels bagi mengatasi masalah anak luar nikah, seolah-olah anak yatim yang kaya dengan harta peninggalan bapanya, tetapi masih lagi meminta sedekah kepada orang ramai.
“Begitulah juga tindakan Datin Rosmah ibarat memohon sedekah dan ehsan daripada orang lain, sedangkan kita mempunyai rujukan iaitu Islam,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Soalnya, kenapa begitu takut hendak merujuk kepada pendekatan Islam yang lebih menyeluruh dan telah terbukti berjaya.
Katanya, kaedah yang perlu digunakan mestilah merujuk kepada apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. iaitu pendekatan mencegah dan mendidik.
Beliau menjelaskan, Baginda s.a.w. telah berjaya membetulkan masyarakat jahiliah yang rosak dalam masa 23 tahun yang menjadi kekaguman ahli kaji masyarakat barat yang berpandangan kerosakan masyarakat jahiliah hanya dapat dirawat dalam masa 100 tahun lebih.
KEPALA BATAS, 3 Okt: "Biarkan Umno terjun dengan labu-labunya," itulah reaksi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap serangan Umno yang kian serabut dengan wang pemberian warga emas RM100 dan wang pengurusan jenazah warga emas sebanyak RM1,000.
Ujarnya, jika ada warga emas yang mahu memulangkan pemberian Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, mereka boleh berbuat demikian dengan mengutus surat mengatakan mereka tidak mahu menerima terus pemberian yang diperuntukkan kepada mereka setiap tahun.
“Jangan berikan kepada Umno, bimbang mereka mempergunakan wang itu untuk tujuan yang tidak manasabah kerana sejarah telah membuktikan parti itu sering tidak amanah terutamanya peruntukan menjelang pilihan raya kepada para petugas,” katanya.
Namun begitu, ujarnya kerajaan negeri tidak hairan dengan desakan Umno Kepala Batas dan yang terbaru di Bayan Baru kononnya mereka bersama dengan penduduk miskin menentang usaha murni kerajaan negeri berjiwa rakyat yang berusaha meningkatkan martabat bangsa, agama dan sosioekonomi menerusi penjimatan yang dilakukan.
"Sebelum ini Umno tidak pernah berikan sesen pun wang kerajaan kepada rakyat miskin yang mereka tahu golongan miskin diperkotakkatikan semasa pilihan raya tidak kira kecil ataupun umum," tambahnya ketika ditemui selepas meraikan sambutan Aidil Fitri PAS Kawasan Kepala Batas di Dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bertam petang tadi.
Katanya, Umno nampak serius melemparkan fitnah terhadap kerajaan negeri kononnya pemberian wang warga emas dan pengurusan jenazah daripada hasil judi sedangkan pemimpin mereka sendiri bergelumang dengan hasil judi.
Malahan, kata beliau ada antaranya terlibat menjadi jawatankuasa organisasi berhubung dengan perjudian.
“Jika macam itu bagaimana pendapatan mereka untuk diberi makan keluarga,” katanya.
Menurutnya, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Farisan Darus sendiri telah menjelaskan sebelum ini bahawa wang sumbangan syarikat judi lumba kuda diasingkan untuk masyarakat bukan Islam dalam Rakan Anti Kemiskinan (RAK) bukan wang warga emas atau pengurusan jenazah.
"Saya pun tahu judi haram untuk orang Islam, maka kita asingkan tabungan itu, wang RM100 dan RM1,000 itu diambil dari wang penjimatan kerajaan," jelasnya.
Apa pun, tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Putih, tekanan yang dibuat oleh Umno BN itu membuatkan semua jentera kerajaan dan parti melaksanakan kerja dengan lebih efisyen.
Bukan sahaja jentera, ujarnya bahkan semua Exco dan kepimpinan parti dalam gabungan Pakatan Rakyat bertungkus lumus merangka program untuk memperjelaskan keadaan sebenar kepada rakyatMARANG, 3 Okt: Ijtima' Tarbawi Dewan Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan 2010 berakhir hari ini dengan enam deklarasi.
Enam deklarasi itu disampaikan Timbalan Ketua DPPP, Azman Shapawi Abdul Rani, selaku pengarah program.
Deklarasi itu antaranya ialah DPPP bertekad untuk memperkasakan tarbiah di kalangan pemuda.
"Pemuda mesti memahami semua peringkat tarbiah dalam parti kerana tarbiah merupakan agenda yang paling penting dalam jemaah Islam," kata Azman di majlis penutup ijtima' di Masjid Rusila.
Majlis penutup disempurnakan oleh Ahli Parlimen Mesir dari Ikhwan Muslimin, Sheikh Al-Syed Abdul Mas’ud Mohamed Asqar.
DPPP turut bersetuju untuk mengukuhkan program usram sebagai asas kepada segala gerak kerja parti.
Selain itu, program ijtima' akan dijadikan sebagai program tahunan DPPP sebagai salah satu langkah untuk mengukuhkan tarbiah di kalangan pemuda di semua peringkat.
DPPP turut mengulangi pendirian mereka sebelum ini untuk memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan ulama yang merupakan tunjang kepada PAS yang memperjuangkan Islam berdasarkan ajaran al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.
Menurut Azman juga, DPPP berazam untuk membina sahsiah dalam diri setiap pemuda dengan mendalami segala ilmu pengetahuan merangkumi ilmu dunia dan juga ilmu akhirat.
Selain itu, DPPP akan menjadikan tarbiah merentasi tanzim iaitu semua gerak kerja parti adalah berorentasikan tarbiah bagi mengukuhkan kekuatan dalaman setiap ahli.
Azman dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada semua pemuda dan pemudi yang berjaya menghadirkan diri sehingga ke akhir program berkenaan.
Kehadiran peserta yang mencecah 5,000 orang disifatkan sebagai kejayaan awal DPPP dalam memobilisasi seluruh pemuda ke setiap program dan gerak kerja.
"Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada peserta yang hadir dan istiqamah sehingga berakhirnya program.
"Kehadiran peserta ternyata melebihi jumlah yang kita sasarkan dan ini menunjukkan kejayaan awal DPPP dalam menganjurkan program sebegini," katanya.
Beliau turut memberitahu, ijtima' pemuda pada tahun hadapan akan diadakan di Pulau Melaka, Kelantan.